Oleh: Abdullah Zaid
Misi 'Freedom Flotilla Coalition' (FFC) yang akan berlepas dari Istanbul, Turkiye Ahad ini membawa mesej jelas menolak kepungan Israel ke atas umat Islam Palestin.
Bagi Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Bahrin Shah yang mewakili parti AMANAH dalam pelayaran bantuan kemanusiaan ke Gaza itu, kesensaraan umat Islam Palestin perlu diakhiri segera.
Beliau akan melakukan yang terbaik dalam misi yang melibatkan 20 sukarelawan tempatan terdiri daripada doktor, aktivis dan pengamal media itu.
"Flotilla warga antarabangsa, berusaha untuk mengakhiri kesengsaraan penduduk Gaza, membuka jalan bagi usaha antarabangsa yang lebih ikhlas bagi menyelamatkan lebih ramai rakyat Palestin daripada kelaparan dan kematian.
"Bantuan ke Gaza akan berlayar dari Istanbul membawa sukarelawan dari pelbagai negara untuk mengakhiri pengepungan sedih Gaza," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu turut membidas sikap negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman yang cenderung memberi bantuan kepada Israel berbanding Palestin.
"Negara-negara ini boleh mengiringi kapal membawa bekalan yang tidak penting melalui Laut Merah untuk dihantar ke Israel tetapi tidak akan melakukan perkara yang sama untuk membantu penduduk Palestin. Ini adalah sikap tidak ikhlas yang ditunjukkan oleh kuasa besar dunia," ujarnya.
Malah katanya, konflik berdarah itu boleh dielakkan jika negara kuasa besar dunia menunjukkan kehendak politik dan keberanian untuk melakukan tindakan betul dan adil tanpa bermain politik.
"Sejarah akan menunjukkan betapa sedikitnya negara-negara kuasa besar membantu rakyat Gaza yang kelaparan dan terbunuh tetapi masih menghantar senjata ke Israel untuk membunuh rakyat Gaza setiap hari.
"Semoga dunia sedar kesan pembantaian Penduduk Palestin yang berakhir dengan kelaparan dan kematian, perlu ada tindakan yang benar," katanya.
Justeru, Raja Bahrin berharap agar bantuan itu berjaya disampaikan kepada rakyat Gaza yang ketika ini berdepan dengan krisis kemanusiaan.
"Marilah kita semua berdoa untuk mereka dan jiwa-jiwa yang kelaparan dan terbunuh di Gaza," katanya lagi.
Comentários