Wajibkan subjek BM, sejarah dalam SPM diterima baik Dong Zong, Maahad Tahfiz
- Suara Keadilan

- 8 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selesai mengadakan pertemuan menyeluruh dengan pelbagai pihak bagi mewajibkan pengambilan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, perbincangan melibatkan wakil sekolah antarabangsa, Maahad Tahfiz serta pihak Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang telah berlangsung berjalan dengan baik, dan hasrat kerajaan diterima positif oleh semua pihak yang hadir.
"Menteri Pendidikan telah memaklumkan bahawa pada minggu ini telah diadakan pertemuan bersama wakil dari pelbagai pihak.
"Pertemuan tersebut telah berjalan dengan sangat baik dan ada penyelarasan dari segi apa yang kerajaan berhasrat untuk laksana, diterima baik oleh semua pihak yang hadir," katanya dipetik pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026- 2035 pada 20 Jan lepas mengumumkan sekolah pelbagai aliran pendidikan akan diwajibkan mengambil subjek bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.
Langkah ini bertujuan memperkukuh bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan negara.
Sementara itu menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, susulan itu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan pertemuan bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada minggu hadapan.
Pertemuan itu bagi meneliti aspek laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berdasarkan keperluan dua mata pelajaran itu.









Comments