Video tular salahkan KPW: Tamat bantuan akibat hilang kelayakan
- Suara Keadilan
- Oct 12, 2023
- 1 min read

Tular satu video di media sosial kononnya pihak kerajaan telah menamatkan bantuan kepada seorang Orang Kurang Upaya (OKU) warga emas secara tidak wajar.
Video tersebut yang diulas oleh segmen anti-fitnah terbitan Kementerian Komunikasi dan Digital 'Biar Betul' menampilkan seorang pempengaruh menyatakan luahan dari seorang warga emas yang tidak mendapat pembelaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPW).
Beliau mempersoalkan mengenai bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ditamatkan, dan keperluan seseorang OKU bekerja sebelum diberi bantuan.
Dalam pada itu, siasatan pasukan Biar Betul mendapati OKU tersebut telah dikeluarkan daripada senarai penerima bantuan kerana beliau hilang kelayakan.
"Lelaki itu mendakwa penamatan itu tidak adil. Semakan pasukan Biar Betul mendapati penama menerima bantuan tersebut sejak 2020. Ia ditamatkan selepas dia didapati tidak lagi layak.
"Menurut Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat, elaun itu hanya dikhususkan buat OKU yang bekerja dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah.
"Kelayakan itu terbatal jika pendapatan meningkat atau penerima tidak lagi bekerja.
"Warga emas itu (setelah disiasat) juga penerima bantuan sara hidup tenetra, bantuan bakul makanan dari MAWIP serta bantuan bulanan Baitulmal berjumlah RM900 setiap bulan," kata segmen berkenaan.
Biar Betul menafikan penamatan tersebut sebagai tidak adil. Ianya berlaku kerana warga emas tersebut tidak lagi menepati syarat kelayakan yang membolehkan bantuan berkenaan diteruskan.
Comments