Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengambil serius mengenai satu video lama yang menjadi tular berdurasi 1:10 minit dan telah dimuatnaik oleh sebuah portal berita dengan niat membina persepsi negatif terhadap penjawat awam.
Menurut JPA, rakaman itu merupakan video lama dan tidak lagi relevan pada waktu ini setelah penggantian kerajaan dan dasar yang baharu.
"Video yang tular ini dirakamkan ketika Tan Sri Datuk Seri Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, di Jabatan Perdana Menteri.
"Sehubungan itu, orang awam diseru supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dikongsikan bagi tujuan mencalarkan imej kerajaan dan perkhidmatan awam (Kerajaan Madani) sebagai barisan hadapan negara," kata kenyataan berkenaan.
Sebelum ini tular video berdurasi 1:10 minit dengan membina persepsi seolah-olah pegawai awam yang bertanya kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali itu telah dinafikan dan dihalang oleh sekumpulan polis bantuan ketika bertanyakan mengenai status permohonan kuarters kerajaan yang masih belum diluluskan pada suatu majlis dihadiri oleh beliau.
Comments