top of page

Video tular KP AKPS: Integriti, ketegasan penguatkuasaan perlu seiring

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
40 minutes ago
2 min read
Mohd Yahya Shaari. Gambar arkib
Mohd Yahya Shaari. Gambar arkib

Isu video tular membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan secara profesional, telus dan menyeluruh.


Pengarah Strategik KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Shaari berkata integriti, ketegasan dan akauntabiliti perlu bergerak seiring dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan di pintu masuk negara.


"Bagi saya, perkara paling penting ketika ini ialah jangan menghukum seseorang hanya berdasarkan potongan video yang tular sebaliknya berikan ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional, telus dan menyeluruh," katanya dalam kenyataan.


Yahya yang juga mantan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri berkata, pendirian Mohd Shuhaily yang bersedia menerima apa jua keputusan kerajaan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk disiasat merupakan asas kepada akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.


Menurut beliau pegawai yang memegang amanah awam perlu memahami bahawa kuasa datang bersama tanggungjawab serta kesediaan untuk dipertanggungjawabkan.


"Inilah asas akauntabiliti, apabila seseorang memegang amanah awam, kuasa datang bersama tanggungjawab dan kesediaan untuk dipertanggungjawabkan," katanya.


Pada masa sama, beliau menegaskan usaha membanteras rasuah, penyeludupan, sindiket, salah guna kuasa dan kebocoran di pintu masuk negara tidak boleh dikompromikan.


"Kita memerlukan penguatkuasaan yang tegas dan pegawai yang berani bertindak.


"Tetapi dalam masa yang sama, kita juga memerlukan penguatkuasaan yang berintegriti, berlandaskan undang-undang, berprosedur dan boleh dipertanggungjawabkan," katanya.


Yahya berkata ketegasan penguatkuasaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan tatakelola manakala tatakelola pula tidak boleh dijadikan alasan untuk melemahkan keberanian penguatkuasaan.


Jelasnya kedua-dua aspek itu perlu dilaksanakan secara serentak bagi memastikan sistem penguatkuasaan negara kekal berkesan dan berintegriti.


"Jika terdapat kesalahan, siasat. Jika ada pelanggaran undang-undang, ambil tindakan.


"Jika ada kelemahan tatakelola, perbaiki. Jika seseorang telah menjalankan tugasnya dalam kerangka undang-undang, berikan pula perlindungan sewajarnya berdasarkan fakta dan hasil siasatan," ujarnya.


Beliau menegaskan penguatkuasaan tidak boleh wujud dalam bentuk dua darjat dengan setiap individu yang mempunyai kuasa tetap tertakluk kepada undang-undang.


AKPS, katanya, sebagai agensi baharu mempunyai tanggungjawab besar untuk membina sistem kawalan sempadan yang lebih moden, berintegriti dan berkesan.


Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan terburu-buru atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung isu berkenaan.


"Biarlah siasatan menentukan fakta. Namun satu perkara mesti kita sepakati iaitu membersihkan pintu masuk negara daripada rasuah, sindiket dan salah guna kuasa adalah tanggungjawab bersama," katanya.


Sebelum ini tular video individu mirip Mohd Shuhaily kelihatan memarahi seorang individu. Malah, dalam video terbabit, kepala mangsa turut dipegang dengan aksi agak keras.


Manakala semalam, Shuhaily dalam sidang medianya menyatakan kesediaan menerima apa sahaja keputusan atau tindakan kerajaan susulan insiden video tular di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.


Beliau berkata, dirinya bersedia bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan menyerahkan sepenuhnya siasatan lanjut kepada pihak berkuasa bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan secara adil.


"Saya telah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan juga kementerian mengenai perkara ini. Justeru, apa jua keputusan mereka, saya terima.


"Bagi saya, untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga. Sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya," katanya dipetik Sinar Harian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page