Kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah mengarahkan semua penerbit filem dan video di media sosial mendapatkan lesen dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus-terusan mengundang reaksi dan kritikan pelbagai pihak.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri meluahkan rasa terkilannya kepada kenyataan Saifuddin yang disifatkannya sebagai satu langkah ke belakang.
Malah, beliau menganggap ia merupakan satu bentuk cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat.
"Rakyat tertanya mengapa langkah ini diambil, sehinggakan arahan yang dimaklum menteri itu terlalu umum sehingga ia akan mengesankan mereka yang menggunakan media sosial, termasuk pelantar YouTube, TikTok, Instagram, dan lain-lain.
"Perkembangan ini membimbangkan, tatkala serangan dan gangguan ke atas media termasuk Al-Jazeera terus berlaku sejak kerajaan ini tertubuh Mac lalu," katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Anwar mempersoalkan pendirian kerajaan terhadap soal kebebasan bersuara, kerana jelas perbuatan mereka tidak mencerminkan pendirian kerajaan.
"Ternyata kerajaan mahukan semua pihak, tidak kira samada ahli politik, mahu pun penggiat media sosial akan dikenakan tindakan atas pelanggaran sesuatu kandungan yang mungkin tidak cocok dengan pandangan kerajaan.
"Arahan tidak munasabah ini adalah langkah kebelakang. Dalam masa yang sama pula, kerajaan percaya ia akan terus mendukung kebebasan bersuara. Apakah masuk akal?" soalnya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson melihat usaha Pakatan Harapan dalam memperjuangkan demokrasi di negara ini musnah begitu sahaja.
"Perlu diingatkan di sini bahawa kerajaan Pakatan Harapan yang lalu telah berjaya melonjakkan tahap kebebasan media ke satu tahap yang bukan sahaja menaikkan imej negara, malah telah memberi keyakinan kepada pemerhati dan pelabur asing.
"Dengan rencana terkini ini, kerajaan akan memadam usaha dan upaya kerajaan lalu sekaligus menginjak tatanan dan demokrasi negara hukum," katanya.
Comments