Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat laporan polis terhadap dua individu susulan penyebaran video dan poster yang disunting dan diambil di luar konteks sehingga mengundang ancaman terhadapnya.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, laporan oleh Setiausaha Politiknya itu bagi membolehkan pihak polis menyiasat perkara tersebut.
"Sesuatu berlaku hari ini. Ujaran kebencian, tuduhan tidak benar, malah ancaman keselamatan diterima di alam maya.
"Laporan polis telahpun dibuat, atas faktor keselamatan manakala atas nasihat pasukan peguam, kesemua bukti daripada hantaran, komentar, dan mesej peribadi di media sosial yang pelbagai sedang dikumpulkan dan tindakan undang-undang akan diambil.
"Mungkin ada yang memang bertindak dengan sengaja, ada pula bertindak melulu atas kejahilan," katanya.
Terdahulu tular petikan Fadhlina menyebut 'perkataan kafir pun saya haramkan di rumah' yang dipercayai disunting bagi membangkitkan kebencian.
Video dan poster tersebut menjadi bualan ramai sejak ia disebarkan di media sosial sejak Jumaat.
"Hal ini menyebabkan Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen.
"Video yang diambil di luar konteks telah pun dipadam tetapi masih dikongsikan di laman sosial lain.
"Saya bimbang keselamatan YB (Yang Berhormat) Fadhlina kerana isu ini akan menjadi 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja), saya buat laporan ini untuk polis buat tindakan selanjutnya," kata Setiausaha Menteri itu dalam laporan tersebut.
Berdasarkan laporan polis berkenaan, gambar tersebut paling banyak dikongsi di aplikasi oleh pengendali akaun bernama Muhammad Rifaat Razman dan JKKK Fan Club.
Comments