Veteran ATM masih produktif sumbang pembangunan negara
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpotensi besar untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) berkata naratif terhadap golongan veteran perlu diubah daripada sekadar penerima bantuan selepas bersara kepada aset negara yang masih produktif yang mampu diperkasa untuk berdikari.
"Veteran tentera bukanlah pesara biasa mereka masih di puncak usia produktif, memiliki disiplin yang kental, jati diri yang utuh dan kemahiran teknikal yang sangat berharga," katanya dipetik laporan media.
Isteri Perdana Menteri itu sebelumnya menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Tengah Hari dan Penyampaian Hadiah sempena ‘MyHeroes Golf Championship Cup 2026’ (MYGCC 2026) di Seri Kembangan pada Ahad.

Acara itu sebagai sebahagian daripada agenda Kempen Tabung Pahlawan bagi mengumpul dana kebajikan dan pemerkasaan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sementara itu menurut Dr Wan Azizah, usaha memperkasa veteran perlu diperkukuh menerusi kerjasama kerajaan, persatuan veteran dan sektor swasta, khususnya dalam menyediakan peluang kerjaya kedua serta ruang keusahawanan.
Pendekatan itu jelasnya selari dengan agenda Malaysia MADANI bagi memastikan golongan veteran terus mempunyai peranan dalam pembangunan negara selepas menamatkan perkhidmatan dalam ATM.
Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya terus menyokong Kempen Tabung Pahlawan.
Tabung tersebut jelasnya antara platform penting membantu kelangsungan hidup, perubatan serta pendidikan veteran dan waris mereka.




Comments