top of page

Vape bahaya: Sokong kerajaan haramkan sepenuhnya - Arthur Chiong

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 30
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern menzahirkan sokongan penuh terhadap langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negara ini.


Katanya, langkah tersebut diambil tepat pada masanya memandangkan peningkatan mendadak penyalahgunaan vape dalam kalangan remaja dan belia, termasuk produk yang mengandungi bahan kimia berbahaya serta kandungan nikotin yang tinggi.


Arthur Chiong Sen Sern
Arthur Chiong Sen Sern

"Saya memuji komitmen KKM yang teliti dalam menilai impak perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam sebelum melaksanakan dasar ini.


"Pendekatan berasaskan bukti melalui Jawatankuasa Kepakaran Rokok Elektronik menunjukkan bahawa kementerian serius dalam menangani isu ini secara holistik," katanya dalam satu kenyataan.


Sebagai pemimpin masyarakat, Arthur yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kulai berkata, beliau menyokong agar kerajaan mengharamkan sepenuhnya vape sama ada mengandungi atau tanpa nikotin.


Selain itu, katanya sokongan turut diberikan kepada kerajaan dalam usaha memperketatkan penguatkuasaan di lapangan, termasuk penjualan haram yang menyasarkan golongan bawah umur.


"Saya juga menyokong melaksanakan kempen pendidikan kesihatan awam secara menyeluruh, terutama di sekolah dan institusi pengajian sekali gus melindungi generasi masa depan daripada ketagihan bahan nikotin yang membawa kepada penyakit kronik dan membebankan sistem kesihatan awam negara," ujarnya lagi.


Justeru, beliau menyeru semua pihak, termasuk Ahli Parlimen dan ADUN semua parti untuk menyokong dasar berkenaan secara bipartisan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.


Katanya, kesihatan rakyat adalah aset negara dan pengharaman vape adalah langkah berani yang wajar disokong.


Pada 28 Julai lalu, ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, KKM yang diterajui Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihaknya sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape bagi menangani isu itu secara lebih berkesan.


Dr Dzulkefly bagaimanapun berkata, pelaksanaan pengharaman itu perlu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesan kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.


Katanya, penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada serta keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melindungi kepentingan kesihatan rakyat secara keseluruhan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page