top of page

Vaksin untuk MP dan ADUN bantu kawal penyebaran Covid-19

  • Writer: Omar Zin
    Omar Zin
  • Feb 18, 2021
  • 1 min read

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menganggap pemberian vaksin kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membantu mengawal Covid-19 daripada tersebar kepada orang ramai.


Beliau berpendapat, ahli Parlimen dan ADUN sering bertemu dengan rakyat dan ahli parti sekali gus berisiko menjangkiti Covid-19 dan mewujudkan kluster dalam masyarakat dan komuniti.


"Keutamaan penerima vaksin bergantung kepada penilaian risiko dan anggota parlimen beserta dewan undangan negeri boleh dianggap berisiko tinggi berdasarkan kekerapan menyantuni orang ramai dan komuniti luaran.


"Justeru pemberian vaksin kepada MP/ADUN membantu dalam mengawal penyebaran pandemik ini kepada orang ramai.


"Pun begitu, pemberian vaksin harus diganding dengan proses saringan yang tersusun dan pengekalan pematuhan SOP oleh semua pihak untuk menjayakan pengawalan pandemik Covid-19 dan perkembangan ekonomi, penerusan sekolah dan sektor pekerjaan, secara selamat," katanya.


Dalam pada itu, Nurul Izzah juga berharap vaksin turut diberikan kepada pegawai dan tahanan penjara.


"Sebagai salah seorang anggota Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Mengenai Reformasi Penjara dan Tempat Tahanan, kami juga memohon agar banduan beserta pegawai penjara (dan keluarga) diutamakan sebagai penerima vaksin.


"Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 telah memberi respon positif terhadap permintaan tersebut.


"Diharap juga pemberian vaksin kepada semua ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dapat membantu keyakinan orang ramai dalam pengambilan vaksin demi menyelamatkan kita semua daripada pandemik Covid-19," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page