top of page

Vaksin Selangor: Jangan salahkan kapasiti PPV, bekalan dari kerajaan pusat tidak mencukupi - Exco


Selangor menafikan tuduhan terdapat masalah berkenaan kapasiti pemberian vaksin Covid 19 di negeri itu yang menjadi punca terhadnya dos suntikan harian.


Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebaliknya negeri itu memiliki Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang mencukupi dan mampu memberi suntikan kepada lebih 80,000 orang sehari.


Bagaimanapun, kata beliau, jumlah unit dos yang diterima kurang daripada dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan menyebabkan usaha menyegerakan suntikan vaksin terencat.


"Mengikut semakan rekod Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerima 1,189,350 dos setakat 27 Jun 2021. Jumlah yang telah diagihkan pula sebanyak 954,051 dos.


"Justeru, dos semasa dalam simpanan berbaki sekitar 20% yakni sebanyak 235,277 unit dos. Bekalan ini dijangka bertahan untuk dua hari lagi sekiranya proses ini dijalankan pada kapasiti penuh PPV.


"Namun, difahamkan hari ini JKNS akan menerima sekitar 60,000 unit dos lagi dan Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih.


"Dengan 73 PPV di seluruh Selangor ketika ini, penting dinyatakan kapasiti vaksinasi harian keseluruhan PPV di Selangor adalah 87,616 orang. Namun, dengan jumlah bekalan sedia ada ada, kadar suntikan harian saat ini hanya 53,037 orang," katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, Mariah menegaskan, sekiranya vaksin yang ditempah oleh kerajaan Selangor tiba maka kapasiti suntikan akan meningkat hampir sekali ganda dan dijangka pada paras 160,000 orang sehari.


"Insya-Allah, apabila digandingkan dengan Program Vaksin Selangor yang akan diumumkan Datuk Menteri Besar nanti, kita akan mampu mencapai sasaran CITF Kebangsaan yang disebut oleh YB Menteri Penyelaras PICK dengan masing-masing 135,000 dan 165,000 kadar vaksinasi harian menjelang Julai dan Ogos.


"Masalah yang dihadapi di Selangor ketika ini adalah kekurangan bekalan vaksin, bukan kapasiti mahupun jumlah PPV," katanya lagi.


Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha pemberian vaksin di Selangor berjalan perlahan.


Beliau berkata, akan berusaha untuk meningkatkan kapasiti di Selangor dengan membuka lebih banyak PPV di negeri tersebut dengan harapan dapat meningkatkan lagi kadar pemberian vaksin.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page