
Titah Sultan Selangor mempersoalkan pengagihan vaksin ke negeri itu yang tidak seimbang dengan jumlah penduduk diharap akan menyedarkan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar menjunjung kasih terhadap keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempersoalkan jumlah penerimaan vaksin diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak 2.9 juta dos, sedangkan jumlah sebenarnya hanya sepertiga daripada itu.
"Mewakili KEADILAN Negeri Selangor, patik menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang telah bertitah mengenai isu kekurangan bekalan vaksin Covid-19 di mana hanya 615,210 dos yang diberikan kepada negeri Selangor dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelumnya oleh Kerajaan Persekutuan.
"Titah DYMM Tuanku itu sangat bertepatan kerana memang jelas jumlah peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak adil dan ia sama sekali tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk negeri Selangor.
"Hal ini perlu diambil serius oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang bertanggungjawab sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memastikan program imunisasi dilaksanakan dengan teratur, adil dan saksama," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu lagi, pembahagian dos vaksin Covid-19 sewajarnya dilaksanakan mengikut jumlah kepadatan penduduk sesebuah negeri dan bukannya berasaskan politik.
Beliau turut bersetuju dengan titah Sultan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia serta terdapat begitu banyak kawasan industri di negeri itu yang perlu divaksinasi segera
"KEADILAN Selangor menjunjung titah DYMM Tuanku bahawa nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain terutamanya agenda politik.
"Pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor juga perlu ditambah, khususnya di kawasan luar bandar. Pada masa sama, pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.
"Pihak Kerajaan Persekutuan juga sewajarnya memanfaatkan fasiliti 16 Klinik Selcare serta tenaga mahir yang dimiliki anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Selgate Corporation dalam urusan suntikan vaksin," katanya lagi.
Selain itu, Halimey juga meminta Kerajaan Persekutuan supaya mencontohi Kerajaan Negeri yang agresif melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma untuk rakyat di mana ia seharusnya dicontohi.
Inisiatif tersebut, katanya dapat membantu mengesan golongan pembawa senyap atau ‘silent carrier’ virus Covid-19 dan seterusnya membolehkan langkah pencegahan awal dilaksanakan dengan berkesan.
Kelmarin, Sultan Selangor terkejut dengan jumlah vaksin yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan berbanding jumlah penduduk Selangor.
Baginda bertitah, nisbah pemberian dos vaksin sebanyak 615,210 dos tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk di negeri ini yang berjumlah 6.5 juta orang.
Komentar