V-Biz Permatang: Bukan sekadar jualan, flatform perkhidmatan, kebajikan rakyat


Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Permatang satukan JER, Selangor Saring, kaunter agensi dan aktiviti keluarga
Prinsip “perkhidmatan mesti dekat dengan rakyat” terus diterjemahkan melalui penganjuran V-Biz DUN Permatang di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Gulang-Gulang semalam yang menghimpunkan pelbagai inisiatif ekonomi, kesihatan, kebajikan dan aktiviti kekeluargaan dalam satu lokasi.
Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Permatang itu dilaksanakan dengan kerjasama JPKK Kampung Sungai Gulang-Gulang, SELCARE, PPAS, Teraju Muda, PeBS, SuKA, ALPH dan APPKK, membuktikan bahawa penyampaian manfaat kepada rakyat dapat diperkasakan apabila agensi dan komuniti bergerak bersama.
Antara pengisian utama program ini ialah Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang memberi peluang kepada penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan.

Dalam masa yang sama, Program Selangor Saring menyediakan saringan kesihatan secara percuma kepada peserta berdasarkan penilaian faktor risiko individu.
Saringan yang ditawarkan merangkumi pemeriksaan fizikal, darah dan urin, selain saringan berkaitan kanser serta pemeriksaan mata, gigi, telinga dan fisioterapi mengikut kesesuaian peserta.
Selangor Saring ini merupakan inisiatif percuma di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dengan nilai manfaat saringan awal sehingga RM3,000 bagi setiap individu, tertakluk kepada jenis saringan dan penilaian yang ditetapkan.
Selain aspek ekonomi dan kesihatan, V-Biz turut memberi perhatian kepada institusi keluarga melalui Pertandingan Mewarna kanak-kanak dan kategori ibu bapa, menjadikan program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi turut mewujudkan ruang interaksi positif dalam keluarga dan komuniti.
Dalam pada itu, Penyelaras DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata pendekatan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan dalam satu program seperti itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan rakyat mendapat akses yang lebih mudah.
"Kita mahu rakyat rasa bahawa perkhidmatan itu dekat dengan mereka. Rakyat tidak sepatutnya perlu pergi ke banyak tempat untuk mendapatkan maklumat, bantuan atau kemudahan yang sepatutnya boleh disampaikan lebih dekat kepada komuniti," katanya.
Menurut beliau, V-Biz bukan sekadar platform jualan, sebaliknya menjadi ruang untuk menghubungkan rakyat dengan pelbagai perkhidmatan yang tersedia.
"Hari ini kita satukan ekonomi, kesihatan, kebajikan, pendidikan dan aktiviti kekeluargaan dalam satu lokasi. Inilah pendekatan yang kita mahu — bukan sekadar bercakap mengenai rakyat, tetapi membawa perkhidmatan terus kepada rakyat," katanya yang juga Pengarah Strategi KEADILAN Selangor.
Manakala dalam aspek kesihatan, Yahya menggalakkan masyarakat mengambil peluang menjalani saringan yang disediakan.
"Kesihatan jangan tunggu sehingga sakit. Kalau ada kemudahan saringan percuma, datang dan buat pemeriksaan. Lebih awal kita mengenal pasti risiko, lebih awal kita boleh mendapatkan nasihat dan tindakan susulan," katanya.
Beliau berkata pendekatan “Saring Awal, Cegah Awal” perlu menjadi budaya dalam masyarakat kerana kesedaran dan pemeriksaan awal merupakan antara langkah penting dalam penjagaan kesihatan.
Selain itu, kejayaan V-Biz DUN Permatang, kata beliau turut memperlihatkan kekuatan kerjasama antara Pusat Khidmat Rakyat, JPKK, agensi kerajaan, petugas komuniti dan masyarakat setempat.
Penglibatan JPKK Kampung Sungai Gulang-Gulang, SELCARE, PPAS, Teraju Muda, PeBS, SuKA, ALPH dan APPKK membolehkan pelbagai bentuk perkhidmatan dan aktiviti disediakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama, JPKK, agensi, petugas dan sukarelawan yang bekerja bersama-sama menjayakan program ini. Kekuatan kita bukan pada satu pihak sahaja, tetapi pada kemampuan kita untuk bergerak bersama demi masyarakat," kata beliau lagi




Comments