top of page

Utamakan prinsip keadilan menyeluruh, tiada kelompok dipinggirkan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 20
  • 2 min read

DS Anwar menekankan keadilan buat kelompok majoriti dan minioriti. Foto: FB Anwar
DS Anwar menekankan keadilan buat kelompok majoriti dan minioriti. Foto: FB Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengutamakan prinsip keadilan menyeluruh dalam setiap dasar, tanpa membiarkan mana-mana kaum atau kelompok dipinggirkan, sama ada daripada golongan majoriti mahupun minoriti.


Perdana Menteri menekankan bahawa pendekatan kerajaan mestilah inklusif dan tidak boleh terperangkap dalam dominasi kumpulan tertentu.


"…kalau nak kita selamatkan negara, kena jamin tentunya keadilan bagi yang majoriti dan minoriti. Kita tidak mahu tyranny of the majority, kita tidak mahu tyranny of the minority. Pendekatan itu harus lebih adil," katanya dipetik Bernama ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan kini sedang meneliti semua maklum balas rakyat untuk memperbaiki dasar sedia ada termasuk dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober depan.


"Apa-apa kelemahan kita baiki dalam belanjawan (Belanjawan 2026). Kita sekarang dengar semua pandangan, dalam belanjawan kita akan ubah suai dan perbaiki.


"Tidak semestinya apa yang kita lakukan (sekarang) semua sempurna, ada kelemahan. Sebab itu dialog mesti diteruskan," katanya lagi.


Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.


Perdana Menteri menjelaskan peruntukan kerajaan diagih secara telus dan adil, dengan memberi perhatian juga kepada masyarakat minoriti seperti masyarakat berketurunan India agar tidak tercicir.


"Kalau orang tanya saya kenapa beri tumpuan dalam masyarakat India kerana saya kata walaupun jumlah mereka kecil, kita jangan ikut sesetengah negara yang minoriti terus terpelanting. Kita tidak mahu begitu," jelasnya.


Beliau turut merujuk kepada pelantikan Datuk M. Kumar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM yang membuktikan kemampuan dan merit lebih utama berbanding isu perkauman.


"Ada juga pembangkang membangkitkan bagaimana satu agensi Polis Diraja Malaysia Bahagian Jenayah, itu pun 90 peratus Melayu, ketuanya India. Bagi saya bukan masalah, siapa yang rasa ada peranan, mampu kendalikan dengan baik, kita tonjolkan," katanya.


Mengenai Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), Anwar menyatakan ia merupakan satu inisiatif jangka panjang yang lebih bermakna untuk membangunkan sosio-ekonomi Bumiputera secara bersasar, sekali gus memastikan penyertaan substantif mereka dalam ekonomi negara.


Semalam, Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) berkata beliau menekankan sasaran defisit fiskal negara dikekalkan ke arah 3% KDNK dalam jangka sederhana selaras dengan Akta Tanggungjawab Fiskal 2023.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page