top of page

PRN Melaka: Cabang Hang Tuah Jaya mahu calon tempatan aktif berkhidmat

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Mar 17
  • 2 min read

Mesyuarat Agung Tahunan Parti KEADILAN Rakyat Cabang Hang Tuah Jaya 2026 memutuskan bahawa pemilihan calon bagi mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya, mestilah terdiri daripada calon tempatan yang aktif berkhidmat dan memahami denyut nadi rakyat setempat.


Ketetapan itu merupakan antara perkara utama yang dibangkitkan dan dipersetujui dalam sesi perbahasan usul, yang turut menjadi medan penting dalam merangka strategi serta memperkukuh kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Hang Tuah Jaya, Yazid Borhan, KEADILAN bersama rakan komponen Pakatan Harapan juga mencadangkan agar bergerak secara solo dalam menghadapi PRN Melaka kali ini.

Anggota Cabang Hang Tuah Jaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang 2026
Anggota Cabang Hang Tuah Jaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang 2026

"Perkara penting lain yang telah dibangkitkan dan dipersetujui adalah menyokong dan menggesa kerajaan untuk meneruskan usaha menangani isu kos sara hidup serta menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat yang menjadi keutamaan ketika ini.


"Mengusulkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu diberikan kepada KEADILAN untuk ditandingi dalam PRN Melaka akan datang.


"(Ia adalah) berdasarkan kekuatan akar umbi serta kesiapsiagaan jentera parti yang diyakini mampu merampas kembali kerusi tersebut untuk PH," katanya.

Yazid Borhan
Yazid Borhan

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya merangkap Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


Mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel itu dirasmikan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN merangkap Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa, Dr Maszlee Malik.


Dalam ucapannya, Shamsul menekankan tentang kepentingan memperkukuh kekuatan organisasi parti di peringkat akar umbi sebagai persiapan menghadapi cabaran politik yang mendatang.

DS Shamsul Iskandar Mohd Akin
DS Shamsul Iskandar Mohd Akin

Katanya, sasaran telah ditetapkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 100 ranting di Cabang Hang Tuah Jaya bagi memperluaskan jaringan gerak kerja parti di setiap kawasan dan komuniti.


"Setakat ini, sebanyak 53 ranting telah berjaya ditubuhkan, dan usaha akan terus dipergiatkan bagi memastikan sasaran tersebut dicapai.


"Langkah ini penting bagi memastikan jentera KEADILAN Hang Tuah Jaya terus diperkasa dan berada dalam keadaan paling bersedia bagi menghadapi PRN Melaka," ujarnya.


Menurut kenyataan itu lagi, dengan kekuatan akar umbi yang semakin tersusun dan jentera parti yang terus diperkasa, Cabang Hang Tuah Jaya tekad melangkah lebih yakin dan bersedia menghadapi PRN Melaka yang akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page