Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah berjalan selama sebulan dan berjaya menyuntik vaksin kepada 600,000 orang.
Namun bagi Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami, seharusnya kerajaan turut mengutamakan pesara polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pemerolehan vaksin itu memandangkan jasa dan pengorbanan mereka terhadap negara.
"Sehingga kini bilangan rakyat Malaysia yang telah menerima DOS 1 dan DOS 2 adalah seramai 621,417 .
"Tetapi apa yang menyedihkan adalah pesara polis dan veteran ATM terus dipinggirkan. Walaupun mereka telah berkorban nyawa dalam memastikan negara Malaysia ini terus aman.
"Saya ingin mencadangkan agar pesara polis dan veteran ATM diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin Covid 19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Karupaiya, terdapat beberapa sebab mengapa pesara anggota keselamatan berkenaan perlu diberikan vaksin, selain sebagai tanda menghargai jasa mereka menjaga keamaman dan keselesaan hidup rakyat.
"Dua sebab mengapa mereka perlu diberi keutamaan. Pertama, bagi menghargai jasa mereka dalam mempertahankan negara.
"Kedua, majoriti pesara polis dan veteran ATM adalah golongan berisiko kerana telah berumur 60 tahun ke atas.
"Saya berharap Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan mengambil perhatian atas cadangan ini kerana para pejuang negara mesti kita dihargai dan dilindungi," katanya lagi.
Comments