Utamakan penyelenggaraan berbanding roboh-bina semula – MP Petaling Jaya
- Suara Keadilan

- Aug 29
- 2 min read

Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang ditangguhkan semalam memberi ruang untuk pihak berkepentingan berfikir dengan lebih mendalam beberapa aspek daripada cadangan akta tersebut.
Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, memberi laluan kepada pembangunan semula bangunan bertingkat usang agak lebih sukar dan mahal berbanding menjaga bangunan berkenaan dengan baik serta mampu memanjangkan tempoh jangka hayatnya.
"Berdasarkan pengalaman saya di Petaling Jaya, memang banyak bangunan bertingkat yang usang, kotor, hodoh dan mencabar untuk didiami. Ribuan rakyat saya hidup dalam keadaan yang mencabar seperti ini.
"Saya tidak menafikan bahawa ada merit untuk membangunkan segelintir kecil pangsapuri yang memang sukar dipulihkan.
"Namun, tidak semua bangunan bertingkat harus diroboh dan dibangunkan semula. Semulia-mulia tujuan RUU ini untuk meningkatkan mutu hidup warga kota, ia seharusnya menjadi penyelesaian terakhir sahaja," katanya dalam hantaran di media sosial semalam.
Chean Chung menjelaskan, kepadatan penduduk di Petaling Jaya mencecah 8,300 orang setiap kilometer persegi setanding dengan Singapura, sekali gus menjadikan isu perumahan dan kualiti hidup lebih mendesak.
Beliau mengakui ada merit untuk merobohkan sebilangan kecil pangsapuri yang benar-benar sukar dipulihkan, namun menegaskan masalah paling kritikal ialah penyelenggaraan bangunan bertingkat.
"Fi bulanan sukar dikutip, penduduk tidak memberikan kerjasama, pengurusan tidak melaksanakan tugas, kos gantian lif terlalu mahal, kekurangan ruang parkir, vandalisme anak muda, dan sebagainya," keluh beliau.
Walau bagaimanapun, Chean Chung berkata pendekatan pembangunan semula tanpa pelan sosial yang jelas boleh mengakibatkan golongan yang kurang mampu tersisih.
"Sekitar 30-50% penghuni pangsapuri di Petaling Jaya merupakan penyewa. Majoriti pemilik juga bukan daripada golongan maha kaya.
"Sekiranya pangsapuri kos rendah digantikan dengan kondominium mahal, pemilik mungkin menikmati hartanah yang lebih bernilai, namun juga terbeban dengan fi penyelenggaraan yang lebih tinggi," ujarnya.
Selain itu, beliau juga tertanya tanya ke manakah perginya nanti golongan yang menyewa kediaman dan biasanya daripada golongan B40.
"Mereka terpaksa mencari tempat berlindung di pinggir bandar, yang memerlukan kos pengangkutan lebih tinggi untuk berulang-alik setiap hari.
"Maka, penggentrifikasian (gentrification) akan berlaku, di mana pusat bandar hanya dimiliki oleh golongan berpendapatan tinggi," katanya lagi.
Sehubungan itu, Chean Chung menekankan keperluan kerajaan mengutamakan reformasi penyelenggaraan dan daya huni kawasan bertingkat, selain memastikan pembangunan semula disertai Program Perumahan Sosial besar-besaran agar penghuni asal tidak terpinggir.









Comments