Had tempoh PM: Pindaan Perlembagaan gagal akibat utamakan politik sempit
- Helmi Mohd Foad

- 4m
- 2 min read

Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal gagal diluluskan bukan kerana idea reformasi itu lemah atau tidak mendapat sokongan.
Sebaliknya, keadaan itu berlaku apabila terdapat Ahli Parlimen tidak hadir dengan alasan remeh selain ada yang mengutamakan percaturan politik berbanding kepentingan negara, demikian bidas seorang pemimpin kanan KEADILAN
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Sivamalar Genapathy (gambar) berkata, pihaknya kecewa selepas sesi perbahasan panjang di Parlimen, Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak memberikan sokongan terhadap reformasi institusi yang begitu penting ini.
"Ahli Parlimen adalah suara rakyat di kawasan masing-masing. Undian mereka seharusnya mencerminkan aspirasi dan kehendak rakyat, bukan terikat kepada percaturan politik sempit atau kepentingan parti semata-mata.
"Lebih mendukacitakan apabila terdapat Ahli Parlimen blok kerajaan sendiri yang gagal memberikan sokongan penuh terhadap pindaan ini," katanya dalam kenyataan.
Sivamalar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun merupakan satu langkah signifikan dalam usaha memperkukuh reformasi institusi negara.
Jelasnya cadangan pindaan tersebut mencerminkan kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa pembaharuan menyentuh jawatan ketua kerajaan.
"Mengehadkan tempoh perkhidmatan bagi jawatan yang sedang disandang bukan keputusan mudah, namun langkah ini menunjukkan komitmen jelas untuk memperkukuh sistem tadbir urus negara melalui perubahan institusi yang konkrit," ujarnya.
Sivamalar menjelaskan had tempoh kepimpinan telah diperkenalkan di banyak bagi memastikan keseimbangan kuasa dalam sistem demokrasi.
Sebagai contoh, katanya jiran terdekat, Thailand meminda Perlembagaannya pada 2017 dengan menetapkan Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan melebihi lapan tahun secara keseluruhan.
Namun, jelas beliau pindaan seumpama itu gagal diluluskan di Malaysia hanya kerana kekurangan dua undi.
"Dua undi telah memisahkan Malaysia daripada satu reformasi institusi yang penting," katanya.
Bagaimanapun, Sivamalar berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang memberikan sokongan penuh terhadap pindaan ini khususnya wakil-wakil rakyat KEADILAN.
"Sokongan 100 peratus yang ditunjukkan mencerminkan disiplin, komitmen serta kesepaduan dalam menjayakan agenda reformasi yang telah lama menjadi aspirasi perjuangan," ujarnya.
Dalam dinamika politik, jelas Sivamalar perbezaan pandangan dan perbahasan yang lantang adalah lumrah dalam sebuah demokrasi yang matang.
Namun apabila menyentuh agenda reformasi yang melibatkan kepentingan rakyat dan masa depan institusi negara, wakil-wakil rakyat KEADILAN tetap berdiri bersama secara kolektif, ujarnya.
Kata beliau perkara ini membuktikan kepentingan nasional sentiasa diletakkan mengatasi kepentingan peribadi atau pertimbangan politik jangka pendek.
"Reformasi ini adalah sebahagian daripada janji dan tanggungjawab bersama untuk memperkukuh institusi negara.
"Memberikan alasan-alasan yang remeh untuk ketidakhadiran mereka sewaktu pengundian adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya.
Sivamalar menegaskan bahawa rakyat sudah penat dengan drama politik, permainan strategi dan sikap tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen apabila melibatkan sesuatu keputusan besar untuk negara.
"Reformasi institusi bukan isu partisan. Ia adalah soal masa depan negara dan generasi akan datang.
"Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang matang, berprinsip dan benar-benar komited membina negara bukan pemimpin yang terus terperangkap dalam budaya politiking sempit," ujarnya.




Comments