top of page

'Utamakan khidmat kepada rakyat, hebatkan gerak kerja lapangan'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Pemimpin dan bakal wakil rakyat KEADILAN diingatkan agar terus memperkukuh khidmat kepada rakyat dengan memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan MADANI dan masyarakat lebih lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 apabila rakyat akan menjadi hakim kepada prestasi wakil mereka.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) berkata, budaya perkhidmatan kepada rakyat wajib terus menjadi keutamaan parti memandangkan ia merupakan asas perjuangan KEADILAN sejak penubuhannya.


Beliau berkata, ketika menjadi kerajaan, tanggungjawab untuk membantu dan membela rakyat menjadi lebih penting dan semua pemimpin parti termasuk wakil rakyat serta mereka yang berhasrat menjadi calon, perlu memperhebatkan gerak kerja di lapangan.


"Pemimpin parti perlu memanfaatkan sepenuhnya pelbagai bentuk bantuan dan program yang boleh disalurkan kepada rakyat bagi memastikan keperluan masyarakat terus diberi perhatian.


"Kerajaan MADANI telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, namun usaha menyampaikan maklumat dan memastikan bantuan itu sampai kepada golongan sasaran memerlukan peranan aktif pemimpin di peringkat akar umbi.


"Seperkara lagi, kepada yang memegang jawatan terutamanya menteri dan setiausaha politik, mereka harus menjadi pemudah cara kepada pemimpin di lapangan agar bantuan maksimum dapat disampaikan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Menurut Bryan Ng lagi, ukuran sebenar kepimpinan bukan terletak pada jawatan yang disandang atau populariti yang diraih, tetapi sejauh mana seseorang pemimpin mampu membawa manfaat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah mereka.


"Gunakan peluang dan sumber yang ada untuk mendekati rakyat. Banyak inisiatif baik telah diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Tugas kita sekarang adalah meningkatkan kesedaran rakyat mengenainya dan pada masa sama menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan.


"Ia agar manfaat itu benar-benar dapat diterjemahkan di lapangan," katanya yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang dan Aduan KEADILAN Selangor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page