Utamakan keselamatan, elak kanak-kanak main air banjir - Jamaliah
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Exco Kesihatan Selangor, Jamaliah Jamaluddin (gambar) menyeru penduduk supaya peka dan lebih berhati-hati menghadapi musim tengkujuh susulan cuaca tidak menentu yang meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan.
Tambahnya, penduduk juga diingatkan agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga dan
mengelakkan anak-anak bermain air banjir.
"Pada musim ini, selain menjaga keselamatan, penting juga untuk kita memberi perhatian kepada aspek kesihatan diri dan keluarga
"Air banjir dikhuatiri tidak bersih dan mempunyai banyak bakteria serta kuman yang boleh membawa pelbagai risiko penyakit," ujarnya dipetik.
Kejadian banjir memberi ancaman kepada kesihatan awam khususnya bagi negara beriklim tropika.
Air tercemar meningkatkan risiko penyakit taun, jangkitan pernafasan, hepatitis, demam kepialu, leptospirosis serta penyakit bawaan lain.
Jamaliah sementara itu menasihatkan orang ramai agar memastikan tahap kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan dan memastikan makanan bebas daripada sebarang pencemaran.
"Langkah ini penting untuk memastikan keselamatan diri, anak-anak dan ahli keluarga sentiasa terpelihara sepanjang musim banjir.
"Individu yang mengalami simptom penyakit perlu segera mendapatkan rawatan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius," tegasnya.









Comments