Utamakan keamanan, perpaduan demi masa depan anak bangsa
- 57 minutes ago
- 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya terus memelihara keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat majmuk demi memastikan Malaysia kekal aman serta terus maju.
Beliau berkata, setiap negara pasti berdepan cabaran dan masalah, namun ia harus ditangani dengan semangat kekeluargaan.
"Mana-mana negara memang ada masalah. Kita jaga rumah pun kadang-kadang suami isteri ada sedikit masalah, kadang-kadang dengan anak. Tetapi keluarga mesti kekal gembira.
"Macam itu juga negara. Kita ada Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah, Sarawak. Semua kita kena jaga sebagai satu masyarakat dan keluarga besar," katanya dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bersama warga parlimen Tambun, di SMJKC Khantan Baru hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, usaha menjaga keharmonian bukan perkara mudah, namun dengan hati yang baik dan niat yang ikhlas, negara mampu diurus dengan sebaiknya.
"Mudah? Tidak. Tetapi kalau hati baik, kita jaga dengan baik, saya percaya kita boleh jaga negeri ini supaya jadi Malaysia yang terbaik.
"Ada setengah orang asyik lihat masalah. tu orang penyakit dia masalah, hari hari dia cari masalah," ujarnya.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan ibu bapa dan seluruh masyarakat memupuk nilai hormat-menghormati antara kaum, termasuk meraikan perayaan bersama seperti Tahun Baharu Cina dengan semangat “Gong Xi Fa Cai”.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan terus berusaha menambah baik kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta kenaikan gaji.
"Kita sekarang lebih 34 juta penduduk. Mana negara ada Cina, India, Melayu, Iban, Kadazan boleh hidup aman begini? Tidak banyak negeri begitu.
"Kalau Malaysia mahu maju, ekonomi naik, pendidikan lebih tinggi, kita mesti jaga negara ini dengan aman. Apa pun mesti aman. Kalau kita gaduh, negeri kaya pun boleh hancur," katanya.
Mengambil semangat Tahun Kuda, beliau menyifatkan tahun ini sebagai tahun yang membawa keberanian, kegagahan dan kecekalan menghadapi cabaran.
"Ini tahun kuda, maknanya tahun ini bertuah. Lari laju, berani, gagah. Boleh hadapi mana-mana cabaran. Tahun kuda kita angkat Malaysia jadi maju," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa seorang pemimpin mesti menyayangi semua rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
"Kalau mahu jadi ketua dalam negara ini, kita mesti jaga semua. Ini semangat mesti ada. Mahu jadi ketua mesti sayang semua.
"Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Iban anak saya, anak Kadazan anak saya. Baru boleh jadi pemimpin di Malaysia ini," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat menjadikan semangat Tahun Baharu Cina sebagai simbol kasih sayang dan perpaduan demi masa depan anak-anak serta kemajuan negara.





