Utamakan dialog dalam dunia semakin berpecah – Dr Maszlee
- Suara Keadilan

- 8 hours ago
- 2 min read

Pendekatan diplomasi dan dialog perlu terus diutamakan dalam menghadapi ketegangan global yang semakin meningkat, kata Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa, Dr Maszlee Malik (gambar).
Beliau berkata, dalam suasana dunia yang semakin berpecah, penolakan untuk berunding dan berinteraksi hanya akan mengukuhkan konflik, bukan meredakannya.
Beliau merujuk, perbezaan pandangan melibatkan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan dan Nurul Izzah Anwar baru baru ini berhubung isu Selat Hormuz yang mencerminkan persoalan lebih besar tentang hala tuju strategik Asia Tenggara.
"(Ia) bukan sekadar perbezaan keutamaan diplomatik. Ia mencerminkan persoalan lebih asas yang dihadapi Asia Tenggara, sama ada rantau ini akan terus bertindak dengan kebebasan strategik, atau secara senyap namun signifikan cenderung kepada keutamaan kuasa luar," katanya dipetik dari artikel disiar The Egde Malaysia.
Dr Maszlee berkata, Selat Hormuz merupakan laluan kritikal bekalan tenaga dunia yang mempunyai implikasi langsung terhadap kestabilan ekonomi Malaysia dan keselamatan serantau.
Menurutnya, strategi Malaysia berunding dengan Iran lebih kepada untuk meredakan konflik yang memanas di rantau Asia Barat dan menjamin bekalan tenaga.
"Dalam keadaan ini, menjauhkan diri tidak boleh dianggap sebagai neutraliti, sebaliknya mendedahkan kita kepada risiko," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pendirian Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jelas mengutamakan diplomasi sebagai asas penyelesaian konflik.
"Pendirian Malaysia berasaskan prinsip yang jelas iaitu diplomasi mesti dilaksanakan, bukan ditinggalkan
"Dialog bukan tanda kelemahan, tetapi satu tanggungjawab. Negara yang menolak penglibatan tidak mengasingkan diri daripada konflik, sebaliknya kehilangan keupayaan untuk mempengaruhi hala tujunya," kata beliau.
Menurutnya, kekuatan rantau Asia Tenggara melalui ASEAN selama ini bergantung kepada komitmen terhadap rundingan, kesederhanaan dan penglibatan berterusan.
"Mengundur daripada pendekatan ini, walaupun sedikit, berisiko menggugat kestabilan tersebut."
Maszlee turut mengingatkan bahawa kebebasan dasar luar perlu dipertahankan dan tidak seharusnya tunduk kepada pengaruh kuasa besar. Penglibatan dengan pihak yang berbeza pendirian, katanya bukan bermaksud persetujuan sebaliknya satu langkah penting ke arah keamanan.
"Ketiadaan dialog tidak menghasilkan keseimbangan, sebaliknya membuka ruang kepada eskalasi. Ini bukan soal sentimen, tetapi pengalaman," jelas beliau.
Sehubungan itu, Dr Maszlee menegaskan Malaysia mempunyai peranan penting sebagai pengantara dalam memastikan ruang dialog terus terbuka.
"Kita bukan kuasa besar, namun kita tidak kekurangan pengaruh. Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan untuk menghimpunkan pihak, menjadi pengantara dan mengekalkan ruang dialog secara konsisten," katanya.
Menurutnya, diplomasi bukan sekadar alat dasar luar tetapi mencerminkan tahap keseriusan sesebuah negara dalam mengurus konflik.
"Dalam dunia yang semakin berpecah, kita perlu membina jambatan, bukan tembok," katanya lagi.




Comments