top of page

Utamakan anak Sarawak dalam urusan tanah, bukan syarikat luar - Abun

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 16
  • 2 min read
Abun menunjukkan gambar kemusnahan kebun sawit penduduk kampung
Abun menunjukkan gambar kemusnahan kebun sawit penduduk kampung

Isu pertindihan tanah antara pekebun kecil tempatan dan syarikat perladangan kembali mendapat perhatian apabila beberapa penduduk di Sungai Asap, Kapit, Sarawak tampil mengadu kepada Senator Abun Sui Anyit merangkap Pengerusi Biro Hak Adat Bumiputera (NCR) Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak mengenai kebun mereka yang diceroboh syarikat perladangan.


Menurut Abun Sui, sesi dialog bersama wakil pekebun kecil kelapa sawit berlangsung hampir dua jam, yang mana mereka menyuarakan rasa kecewa selepas tanaman yang menjadi sumber rezeki dimusnahkan.


"Kebanyakan aduan yang diterima adalah berkaitan tanaman kelapa sawit milik pekebun kecil tempatan yang telah ditebang dan dimusnahkan oleh sebuah syarikat ladang dari Semenanjung. Tanah berkenaan sebenarnya telah lama diusahakan oleh penduduk sebagai sumber kehidupan mereka.

Jentera berat merosakkan tanaman sawit
Jentera berat merosakkan tanaman sawit

"Lebih penting lagi, kawasan tersebut tidak dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang, walaupun lebih 10 tahun telah berlalu," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Abun, antara isu yang dikenalpasti adalah penduduk membuka hutan untuk pertanian bagi menyara hidup; kebun rakyat bertindih dengan kawasan PL yang diberikan kepada syarikat; dan syarikat gagal membangunkan tanah tetapi terus menjejaskan kehidupan penduduk.


Oleh itu, Abun menggesa agar Kerajaan Negeri Sarawak memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dalam urusan tanah.


"Kerajaan Sarawak mesti mengutamakan rakyat tempatan berbanding syarikat luar dalam urusan tanah. Keluarkan kebun rakyat daripada kawasan PL syarikat dan berikan geran rasmi kepada pekebun kecil.


"Pemberian tanah hendaklah berdasarkan prinsip “rakyat didahulukan, keuntungan dikemudiankan”," katanya.


Beliau juga menekankan bahawa pertikaian tanah seperti itu tidak wajar dibebankan kepada Pegawai Daerah kerana bidang kuasa berkaitan hal tanah di Sarawak sebenarnya terletak pada Superintendent of Land and Survey.


"Pertikaian tanah sepatutnya ditangani oleh pegawai atau pihak berkuasa dari Jabatan Tanah dan Survei yang mempunyai bidang kuasa serta kepakaran undang-undang untuk menyelesaikan pertikaian secara adil," katanya.


Sehubungan itu, Abun berkata, pertikaian tanah hendaklah dikendalikan oleh pihak yang mempunyai kuasa undang-undang dan kepakaran teknikal dalam menyelesaikannya secara adil dan sah.


Beliau turut merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang jelas melindungi hak-hak peribumi Sarawak, khususnya Perkara 153 dan Perkara 161A, yang memperuntukkan kedudukan istimewa serta layanan keutamaan kepada mereka dalam pemilikan tanah.


"Kerajaan Negeri mesti mempertahankan hak ini dengan melindungi tanah rakyat daripada pencerobohan syarika, terutamanya syarikat dari luar Sarawak. Bagi rakyat, tanah adalah kehidupan. Bagi syarikat, tanah hanyalah keuntungan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page