Kesiapsiagaan kerajaan, 170 rakyat Malaysia dievakuasi dari konflik
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Operasi evakuasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Asia Barat melalui penerbangan khas Malaysia Airlines berjaya dilaksanakan.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan berkata, penerbangan khas membawa kumpulan pertama yang berlepas ke Jeddah pada 10 Mac 2026 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu
"Seramai 170 orang berjaya dibawa pulang melalui operasi ini. Mereka terdiri daripada rakyat Malaysia yang berada di Jeddah dan Madinah seramai 133 orang serta sebahagian yang dipindahkan dari beberapa negara di rantau tersebut termasuk Qatar (34), Syria (2) dan Jordan (1)," kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyifatkan, tindakan pantas kerajaan menggerakkan proses evakuasi rakyat mencerminkan kesiapsiagaan tertinggi Kementerian Luar Negeri menerusi Wisma Putra dalam memastikan keselamatan warganegara sentiasa terpelihara.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, malah memperlihatkan tahap kesiapsiagaan kerajaan dalam mengurus situasi kecemasan melibatkan rakyat di luar negara.
"(Selain itu) kerjasama baik rakyat Malaysia dalam mematuhi arahan evakuasi ini menonjolkan sikap disiplin terhadap setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa," jelasnya.




Comments