Pelaburan N Sembilan melonjak 164 peratus, catat rekod baharu
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Negeri Sembilan mencatat sejarah baharu setelah merekodkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM19.1 bilion sepanjang tahun 2025, peningkatan ketara sebanyak 164 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pencapaian tersebut dicapai menerusi kelulusan sebanyak 295 projek pelaburan sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, prestasi itu sekaligus meletakkan Negeri Sembilan di kedudukan keenam tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia dari segi jumlah pelaburan yang diluluskan.
"Projek-projek ini bukan sahaja merancakkan aktiviti pelaburan, malah dijangka meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat dengan sasaran mewujudkan sebanyak 3,845 peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak Negeri Sembilan," katanya dipetik.
Sementara itu tambah Aminuddin, dari segi komposisi, sektor perkhidmatan mencatat pelaburan terbesar dengan nilai RM13.79 bilion.
Ia merangkumi 72 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan. Selebihnya disumbangkan oleh sektor pembuatan sebanyak RM5.34 bilion.
Tambah beliau, pelaksanaan projek-projek berkenaan bukan sahaja mengukuhkan ekosistem industri negeri, malah berupaya memperkasa pertumbuhan ekonomi serta memperluaskan rantaian bekalan industri di Negeri Sembilan.




Comments