Usul Undi Percaya titah Agong, Peguam Negara derhaka - PH



Pendapat Peguam Negara Tan Sri Idris Harun bahawa usul Undi Percaya boleh menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong sama sekali tidak dapat diterima memandangkan hal tersebut dititahkan sendiri oleh Agong untuk dilaksanakan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja dilantik sebagai PM.


Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) amat terkejut di atas kenyataan Peguam Negara bahawa Undi Percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen apabila Dewan Rakyat mula bersidang pada 13 September ini.


"Kenyataan Peguam Negara amat bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.


"Seperti yang terakam di dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”


"Titah Seri Paduka Baginda ini turut ditekankan Yang di-Pertuan Agong (kepada ketua-ketua parti), dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti," ujar Majlis Presiden dalam satu kenyataan.


Menurut Majlis Presiden lagi, amat penting untuk diketahui umum bahawa Peguam Negara turut hadir sebagai saksi dalam pertemuanYang di-Pertuan Agong dan ketua-ketua parti, malah telah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap berkenaan.


Sehubungan itu, kata Majlis Presiden, di manakah logik dan kewarasan Peguam Negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik PM boleh ditidakkan dengan usul Undi Percaya di Parlimen apabila pembentangan usul itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?


"Tindakan PM yang dilantik Agong bagi menggantikan PM terdahulu mengemukakan usul Undi Percaya di Parlimen bagi mengabsahkan sokongan majoriti adalah tindakan yang punyai duluan (precedent) di Parlimen Malaysia.


"Undi Percaya pernah berlaku pada 27 Januari 1976, 12 hari selepas Datuk Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak, dan 3 November 2003, 3 hari selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi PM bagi menggantikan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.


"Oleh yang demikian, Majlis Presiden beranggapan kenyataan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka Baginda," kata mereka.


Tindakan Peguam Negara tersebut, tegas Majlis Presiden menimbulkan tanggapan umum bahawa beliau telah menderhaka kepada Agong dan mengharuskan beliau meletak jawatan.


"Ini juga merupakan kali kedua Peguam Negara telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan Peguam Negara.


"PH mendesak Peguam Negara meletak jawatan kerana beliau bukan sahaja telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, tetapi juga telah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen," kata kenyataan itu


Justeru, Majlis Presiden PH berikrar menjunjung titah Seri Paduka Baginda bahawasanya Undi Percaya perlu dikemuka dan diluluskan untuk mengabsahkan Perdana Menteri ke-9 sebagai mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada sidang Parlimen yang bermula 13 September ini.


"Perdana Menteri tidak harus mengguna pakai nasihat Peguam Negara yang salah sekiranya PM tidak mahu mengikuti jejak langkah mantan Perdana Menteri ke-8 yang mengakibatkan ketidakstabilan politik apabila keabsahan beliau senantiasa diragui dan dipertikai," kata kenyataan itu lagi.


Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER