Usul undi percaya di Parlimen secara tradisi telus, terbuka, bukan sulit
- Suara Keadilan
- Aug 17
- 2 min read

Usul undi tidak percaya timbul kembali apabila terdapat pemimpin Pas-PN yang mahu ianya dilakukan secara sulit dalam hal 'menggugat' perdana menteri bagi memudahkan setiap anggota Dewan Rakyat membuat keputusan.
Namun bagi Ketua Cabang KEADILAN Tenggara, Fakharuddin Moslim, undian tidak sesuai dibuat secara sulit berdasarkan tradisi Dewan Rakyat di negara ini dan Akta Anti Lompat Parti yang secara moralnya mengutamakan keputusan muktamad oleh parti.
"Dalam konteks Parlimen Malaysia (dan kebanyakan sistem demokrasi berparlimen), undi tak percaya atau undi sokongan terhadap Perdana Menteri biasanya dilakukan secara terbuka.

"Sebabnya kerana prinsip ketelusan demokrasi. Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat, jadi rakyat berhak tahu bagaimana wakil mereka mengundi dalam isu besar seperti kedudukan Perdana Menteri. Undi sulit akan menghilangkan akauntabiliti ini.
"Juga kebertanggungjawaban kepada pengundi. Wakil rakyat perlu mempertahankan pendirian mereka kepada pengundi, bukan bersembunyi di balik undi rahsia," katanya dalam kenyataan.
Hal sama juga, kata Fakharuddin, diamalkan dalam parlimen negara Komanwel berdasarkan tradisi Westminster British yang mahukan undian direkod secara terbuka untuk memastikan integriti proses.
Sementara itu, katanya, undian sulit sebagaimana dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari baru baru ini berisiko membuka ruang pengkhianatan secara senyap tanpa risiko reputasi politik, yang mungkin merosakkan kestabilan kerajaan dan merumitkan hubungan antara parti.
"Kalau nak uji sokongan sebenar Perdana Menteri, jalan yang betul ialah buat undi terbuka di Dewan Rakyat supaya jelas.
"Kenyataan Fadhli Shaari ini sebenarnya helah saja. Kerana Pas dah biasa dengan kerajaan tebuk atap," katanya.
Manakala Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, mengikut prosedur Parlimen, mana-mana usul sama perlu difailkan dan mendapat kelulusan Speaker sebelum dibahaskan.
"Langkah pertama, failkanlah dahulu usul supaya ia boleh disempurnakan melalui proses atau prosedur yang dinyatakan dalam Peraturan Dewan.
"Selepas itu, nak sulit atau tak sulit, bawalah kepada Speaker. Sulit atau tidak itu cuma cara mengundi," katanya dipetik Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mencabar kerajaan membenarkan pembangkang membawa usul undi tidak percaya secara sulit.
Comments