Usul Syed Ibrahim: Kerajaan, pembangkang sepakat kecam Israel

Updated: Jul 17


Usul Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh terhadap gesaan mengecam Israel ke atas penjajahan tanah Palestin menerima kesepakatan semua pihak, termasuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Dalam perbahasan di Kamar Khas Parlimen, Syed Ibrahim berkata tindakan Israel yang cuba meluaskan lagi penempatan haram di tebing barat Palestin, Baitulmaqdis dan Lembah Jordan harus ditentang habis-habisan.


"Saya mencadangkan supaya kerajaan, ahli parlimen dan NGO melaksanakan langkah tambahan bagi menunjukkan satu gerakan antarabangsa mengekang tindakan tersebut.


"Di OIC dan PBB, gesaan juga perlu dibuat dalam perhimpunan agung supaya mengusir Israel serta-merta.


"Saya juga mencadangkan supaya mewujudkan petisyen dalam kalangan ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak sebagai isyarat jelas membantah pelan Israel.


"Ahli parlimen juga perlu membawa mesej kesedaran di kawasan masing-masing bagi menyediakan panduan dan mewujudkan solidariti bersama Palestin dalam memperjuangkan kebebasan dan keamanan.


"Selaku pembawa usul, saya harap langkah cadangan ini dapat dilakukan oleh semua pihak, sebagai negara yang memperjuangkan hak asasi dan kemanusiaan," katanya.


MP HULU LANGAT


Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata Malaysia perlu menunjukkan ketegasan bagi menghalang Israel daripada terus bermaharajalela di tanah milik Palestin.


"Malaysia perlu tegas dan tidak perlu malu dan teragak-agak. Kita juga tidak perlu segan, perkara ini juga perlu dibawa kepada Asean, OIC dan forum-forum lain untuk turut mengecam tindakan.


"Malah, dalam urusan perdagangan, kita perlu tegas dengan memutuskan hubungan dengan syarikat-syarikat yang ada urusan di tanah haram Israel," katanya.


MP PADANG RENGAS


Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz menganggap Israel akan tidak akan berhenti mengambil tanah milik Palestin.


"Rejim zionis Israel akan terus cari cara untuk kembangkan ke kawasan lain. Tidak mustahil seluruh Timur Tengah serta Madinah berada dalam rancangan mereka.


"Perasaan iri hati pada orang Islam ini tidak ada noktahnya, dan mereka akan sentiasa mencari jalan untuk melemahkan Islam.


"Malah, jika kita mahu mengecam, kita perlu mengecam Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu kuat Israel.


"Saya juga bercadang untuk ambil tindakan, menghantar usul mengutuk dan melakukan bantahan kepada Kesatuan Antara Parlimen (IPU)," katanya.


MP SIK


Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman mencadangkan supaya sebuah kedutaan Palestin diwujudkan secara rasmi sebagai simbol hubungan antara Malaysia dan Palestin.


"Kita ada hubungan yang akrab dengan Palestin, jadi saya cadangkan kita membuka kedutaan khas Palestin, sama ada di Amman, Jordan ataupun di Kaherah, Mesir, memandangkan kedudukan geografi dekat dengan wilayah Palestin.


"Kita juga boleh gunakan kedutaan sedia ada di Amman dan Kaherah dan ini boleh dilakukan dengan kerjasama kerajaan dan pihak kuasa Palestin," katanya.


Timbalan Menteri Luar


Timbalan Menteri Luar, Kamaruddin Jaffar berkata, beliau menyokong usul yang dibawa Syed Ibrahim dan menganggap perkara itu merupakan isu besar yang memerlukan kesepakatan semua pihak.


"Kita mempunyai kesepakatan yang jelas antara dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang. Kerajaan sentiasa konsisten mengutuk keras rancangan Israel merampas tanah Palestin.


"Kerajaan sentiasa memainkan peranan aktif dan menyokong untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaulat, serta menyatakan bantahan terhadap penindasan, kongkongan dan penderitaan rakyat Palestin.


"Kerajaan menggesa masyarakat supaya serius dalam isu ini bagi menamatkan penindasan dan mewujudkan negara merdeka.


"Kerajaan juga seboleh-bolehnya akan mengambil cadangan-cadangan ahli parlimen di peringkat antarabangsa.


"Malah, cadangan kedutaan khas sedang dalam proses, namun kerajaan perlu mengusulkan kepada negara tuan rumah dahulu.


"Kalau tak ada kedutaan khusus sekalipun, kerajaan akan memastikan sebuah bahagian khas Palestin diwujudkan dan jauh lebih besar di Kaherah," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio