
Usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat dianggap cacat dan telah mencemarkan kedaulatan undang-undang.
Senator Dewan Negara, Yusmadi Yusoff berkata, proses menggantikan Tan Sri Ariff Md Yusof itu tidak memenuhi dua perkara utama.
"Perkara pertama ialah kekosongan. Dalam peraturan mesyuarat, penamaan calon Speaker baharu hanya boleh dibuat jika berlaku kekosongan dan sebab-sebab tertentu.
"Akan tetapi, Perdana Menteri tiada alasan untuk berbuat demikian dan beliau tidak memberikan sebarang penjelasan," katanya kepada Suara Keadilan.
Yusmadi juga menganggap usul itu berat sebelah kerana tidak memberi peluang kepada pembangkang untuk menamakan calon pilihan mereka.
"Sepatutnya diberikan tempoh 14 hari, tetapi perkara itu tidak berlaku.
"Ini menunjukkan usul ini usul yang cacat dan tidak sepatutnya dimasukkan dalam aturan mesyuarat.
"Apabila ia berlaku, kedaulatan undang-undang sudah tercemar," katanya yang juga Pengerusi Kaukus Dewan Negara.
Pada masa sama, Yusmadi menolak hujah Ahli Parlimen Umno kononnya kerajaan baharu memerlukan Speaker baharu.
"Sebarang pertukaran perlu dibuat atas dasar perundangan dan Perlembagaan dan bukannya dibuat dengan keputusan politik.
"Sebab itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak menukar speaker Dewan Negara, tidak ada sebab pun untuk berbuat demikian," katanya.
Malah, pada pandangan Yusmadi, penyingkiran Speaker menunjukkan bahawa Perdana Menteri sanggup merosakkan institusi Parlimen untuk terus kekal berkuasa.
"Apa yang berlaku ini amat memalukan negara. Perdana Menteri boleh memilih pendekatan yang lebih baik untuk mentadbir negara, sebaliknya beliau memilih cara yang mudarat, dan mengambil langkah yang penuh kontroversi," katanya lagi.