top of page

Usul Majlis Perundingan Belia akan dibawa ke Kabinet - Dr Taufiq

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 2 min read

Usul dikemukakan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) supaya umur kelayakan senator diturunkan kepada 25 tahun akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat,


Menteri Belia dan Sukan (KBS) Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, beliau menyokong usaha meremajakan kepimpinan negara, dan memastikan representasi anak muda, wanita dan golongan orang kurang upaya (OKU) lebih seimbang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Malah jelasnya, kementerian beliau sendiri memberi tumpuan kepada usaha menyediakan lebih ramai pemimpin muda yang kompeten sebelum sebarang perubahan berkaitan representasi belia dilaksanakan.


"Pendekatan saya adalah ‘nurture the future leaders’. Menyediakan kepimpinan yang ramai, menyediakan pemimpin-pemimpin yang baik supaya ketika ada proses pindaan-pindaan yang mungkin berlaku supaya had umur diturunkan dan sebagainya, anak muda kita dalam keadaan bersedia," katanya dipetik laporan media tempatan.


KBS juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Dewan Negara bagi meneliti kaedah terbaik untuk merealisasikan usul berkenaan, katanya.


Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas hadir mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras pada Selasa.


MPBN ialah platform libat urus tertinggi kerajaan bagi belia untuk menyuarakan pandangan, aspirasi dan cadangan berkaitan pembangunan mereka. Sidang kali ini dianggotai 142 wakil belia dari seluruh negara.


Sementara itu Dr Mohammed Taufiq berkata, dua usul lain dikemukakan MPBN iaitu memperkenalkan had penggal berturut-turut bagi Ahli Parlimen bagi memperkukuh pembaharuan politik, akauntabiliti dan peremajaan kepimpinan negara dan memperkasa penglibatan belia dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta nuklear, turut akan dibawakan ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk perhatian.

"Kita telah pun mendapatkan maklum balas daripada agensi-agensi yang terlibat, kementerian-kementerian yang terlibat dan satu nota Jemaah Menteri akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.


"Dalam masa terdekat ini saya sendiri akan membentangkan juga isu-isu yang dibangkitkan sepanjang persidangan kali ini," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page