Usai pemilihan KEADILAN kembali ke agenda hadapi pilihanraya
- Suara Keadilan
- 20 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Anggota KEADILAN diingatkan agar 'kembali' ke agenda utama parti usai berlalunya proses pemilihan kepimpinan yang berlangsung semalam.
Seruan itu dibuat oleh Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang yang menyifatkan, parti itu mempunyai agenda lebih penting untuk ditumpukan iaitu memenangi pilihanraya akan datang.
''Kita sudah selesai pemilihan.. jadi saya seru kepada semua rakan-rakan supaya mengalihkan perhatian kepada agenda utama kita.
''(Teras) kita adalah untuk memenangi pilihanraya. Selepas ini kita akan menghadapi PRN Sabah.
''Jadi kita perlu membantu sahabat-sahabat kita di Sabah untuk menang seberapa banyak kerusi yang ada,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional KEADILAN yang diadakan di Persada Johor International Convention Center hari ini.
Selepas PRN di Sabah katanya, KEADILAN akan berdepan pula dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan untuk itu kerja keras perlu dilakukan mulai sekarang.
''Kita tahu betapa susahnya nak memang dalam PRU.. kita ambil masa lebih 20 tahun untuk KEADILAN sampai ke tahap ini iaitu sebahagian daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.
''Jadi kita kena usaha bersungguh-sungguh untuk menang PRU akan datang demi memastikan KEADILAN masih dalam Kerajaan Pusat dan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Perdana Menteri,'' ujarnya lagi.
Mengimbas kembali sesi pemilihan kepimpinan baharu KEADILAN, Lih Kang menyifatkan ia bukan soal hidup atau mati, sebaliknya merupakan pertarungan persahabatan.
Katanya, selepas pemilihan, beliau yakin bahawa orang yang kalah atau menang, tidak akan meninggalkan perjuangan.
''Sebab perjuangan ini adalah untuk seluruh rakyat Malaysia bukan untuk kita seorang,'' katanya dalam ucapan sama.