top of page

Usahawan OKU boleh baharui daftar niaga percuma setiap tahun - Fuziah

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 hours ago
  • 2 min read
FUZIAH (dua dari kanan) mencuba salah satu produk dihasilkan usahawan muda di reruai pameran sempena Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Kebangsaan, Bangi pada 2 April 2026. Foto Ihsan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
FUZIAH (dua dari kanan) mencuba salah satu produk dihasilkan usahawan muda di reruai pameran sempena Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Kebangsaan, Bangi pada 2 April 2026. Foto Ihsan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan inisiatif baharu bagi membantu Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan tersebut.


Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata inisiatif di bawah Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) itu tidak mengenakan bayaran pendaftaran dan pembaharuan pendaftaran perniagaan setiap tahun kepada mereka.


"Skim ini dapat membantu mengurangkan beban kos pematuhan pada peringkat awal dan semasa menjalankan perniagaan," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 di  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi pada Khamis.


Inisiatif berkenaan merupakan antara empat ikhtiar KPDN menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang memberi manfaat kepada komuniti perniagaan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Fuziah berkata, inisiatif lain turut dilaksanakan ialah Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Dokumen Statutori bagi membantu syarikat yang berdepan kesukaran memenuhi kewajipan pematuhan di bawah Akta Syarikat 2016.


 Inisiatif ketiga pula adalah perlanjutan tempoh pendaftaran Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) daripada satu tahun kepada dua tahun bagi menyokong kelestarian PMKS, kata beliau.


"Inisiatif ini memberi peluang kepada usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Politeknik, Kolej Institut Kemahiran dan Pusat Kemahiran untuk mendaftarkan perniagaan dengan SSM di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 secara percuma.


"Inisiatif keempat pula adalah pengenalan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) sebagai kategori baharu di bawah SPPP yang menawarkan pendaftaran tujuh perniagaan secara percuma bagi tahun pertama kepada warga emas," jelas Fuziah.


Sementara itu, beliau menyatakan kesemua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasa ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.


Selain itu katanya inisiatif berkenaan membuka ruang lebih luas kepada golongan belia, OKU dan warga emas untuk turut terbabit secara aktif dalam aktiviti keusahawanan.


"Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Dokumen Statutori serta S1O1P akan dilaksanakan bermula 16 April ini manakala SPPP dan SPPWE dilaksanakan bermula 1 Jun," tambahnya dipetik laporan media tempatan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page