KPDN teliti dakwaan kos meningkat, tidak kompromi jika wujud pencatutan
- Azuan Ab Rahman

- 5 days ago
- 1 min read

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) bakal dipanggil bagi memberi penjelasan terperinci berhubung dakwaan kenaikan kos operasi industri restoran naik antara 10 hingga 30 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, langkah tersebut bagi mendapatkan penjelasan berserta bukti dan data sokongan kukuh terhadap dakwaan persatuan berkenaan.
"Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa (BPGK) KPDN akan memanggil pihak PRESMA dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan terperinci berserta bukti dan data sokongan yang kukuh terhadap dakwaan tersebut.
"KPDN komited untuk bekerjasama dengan pihak industri dalam mencari penyelesaian bersifat menang-menang, termasuk meneliti faktor rantaian bekalan, kos input dan tekanan global yang memberi kesan kepada pengusaha," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu tambah Dr Fuziah, sebarang pelarasan harga kepada pengguna mesti berasaskan kos sebenar dan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya.
KPDN tegasnya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya terdapat unsur pencatutan atau kenaikan harga yang tidak munasabah.
"Pendekatan kerajaan adalah jelas, iaitu sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak industri, namun pada masa yang sama tetap komited melindungi kepentingan pengguna secara tegas dan konsisten," ujarnya.




Comments