Isu isi minyak dalam tong: Hanya dibenar dengan Permit Khas - KPDN
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tampil memberi penjelasan berhubung isu tular mengenai pengisian petrol ke dalam tong di stesen minyak, dengan menegaskan ia hanya dibenarkan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan hal itu bukanlah perkara baharu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, penjualan petrol dan diesel di stesen minyak hanya dibenarkan kepada tangki asal kenderaan atau pihak yang memiliki Permit Khas.
"Bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, mana mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel di stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan dan bagi tujuan kegunaan persendirian, mereka perlu memohon dan mendapat kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pembelian menggunakan Permit Khas tersebut dibenarkan bagi kuantiti 20 liter ke atas dan tertakluk kepada harga pam semasa.
Dalam masa sama, katanya KPDN memaklumkan bahawa permohonan Permit Khas boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permit Bekalan, dan ia ditawarkan secara percuma kepada pihak yang layak.
"Sehingga kini terdapat 10 kategori yang layak memohon Permit Khas daripada pihak Kementerian seperti forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pendalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan dan pembinaan berskala kecil," katanya.
Tambah beliau, hanya pemegang Permit Khas dibenarkan mengisi minyak ke dalam tong, drum atau bekas bersesuaian berdasarkan kelulusan yang diberikan.
"Tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan membeli minyak dalam tong di stesen minyak kecuali bagi kes kecemasan dengan kuantiti di bawah 20 liter sahaja," tegasnya.
Bagi tujuan permohonan Permit Khas hal itu boleh silakukan melalui Sistem Permit Bekalan secara dalam talian menerusi portal https://spb.kpdn.gov.my.
Sehubungan itu, orang ramai disaran menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, portal e-Aduan, talian pusat panggilan serta aplikasi Ez ADU KPDN sekiranya berlaku hal yang mencurigakan berhubung isu mengisi minyak selain daripada tangki kenderaan biasa.




Comments