Usaha tangani sekolah daif di Sabah dilaksana secara berterusan - Fadhlina
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI sentiasa melaksana usaha berterusan bagi memastikan hal pendidikan anak-anak di Sabah terus terbela.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, sebanyak RM2.329 bilion telah diperuntukkan untuk tahun ini bagi menangani isu sekolah daif di Sabah menerusi 52 projek pembangunan baharu.
"Sebanyak 230 dari 390 projek yang diluluskan pembinaan di Sabah telah siap sepenuhnya dan memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini.
"Pada tahun 2025 sahaja, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif di Sabah merangkumi kelulusan bagi 52 projek baharu.
"Tidak kira di bandar, pinggir bandar atau kawasan pedalaman, akses pendidikan berkualiti adalah hak semua murid. Ini iltizam Kerajaan MADANI," katanya dipetik.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kalabakan dan SK Kalabakan serta tapak projek pembinaan bangunan tambahan SK Umas di Tawau pada Jumaat.
Pada lawatan itu beliau turut menyampaikan sumbangan papan pintar, tablet, alat tulis dan bahan bacaan sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn, Yayasan Didik Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka kepada sekolah di sekitar daerah itu.
Sementara itu tambahnya, disamping menangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan (KPM) terus berusaha menyelesaikan masalah lain termasuk berkaitan isu pemilikan tanah dan sijil layak menduduki yang menyebabkan ada sekolah sukar menerima bantuan.
Bagi tujuan itu, pihak kementerian mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.
"Kita (KPM) ambil perhatian isu-isu ini, semuanya dalam proses tindakan pada ketika ini," tambahnya.
Comments