
Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan kestabilan politik negara seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong dipuji penganalisis politik.
Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) ketika mengulas pencapaian 100 pentadbiran Perdana Menteri berkata, Anwar telah melakukan yang terbaik untuk kestabilan politik negara.
Katanya, keputusan Anwar memanggil undi usul percaya susulan pelantikannya dan pembentukan Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah pendekatan yang mengukuhkan lagi pentadbirannya.
"Kestabilan ini membolehkan Anwar memberikan fokus kepada kedudukan ekonomi negara dan mengukuhkan hubungan dengan negara tetangga," kata Dr Awang Azman dipetik.
Beliau juga merujuk tindakan bijak Anwar apabila segera melunaskan hak Sabah dan Sarawak, selain keputusan meningkatkan geran tahunan serta kuasa autonomi atas projek infrastruktur bernilai kurang RM50 juta yang menjadi kunci menjamin kestabilan di kedua negeri Borneo itu.
Minggu ini genap 100 hari pentadbiran Datuk Seri Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 lalu. Pelbagai usaha telah dilakukan dalam tempoh 3 bulan oleh Kerajaan Perpaduan, termasuk memperkenalkan Menu Rahmah dan Inisiatif Pendapatan Rakyat yang tidak pernah terfikirkan oleh kerajaan terdahulu.