

Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten dalam tekad memerangi rasuah dan salah tadbir dianggap membawa berita gembira bagi rakyat.
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Saleh berkata komitmen ditunjukkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pasti akan mendapat sokongan penuh rakyat yang mahu melihat perubahan di negara ini.
"Kita mampu kembali menjadi bangsa Malaysia yang bermaruah, dengan berpegang kepada bangsa yang berintegriti, bangsa yang tahu malu, dan benci rasuah.
"Ia harus menjadi pegangan dan membudaya dalam masyarakat kita, tambah lagi bangsa Malaysia sejak sekian lama, tanpa mengira latar belakang adalah bangsa beragama, bangsa yang punya etika, bangsa yang bermoral.
"Kepada PM, jalankan tanggungjawab anda kerana dalam konteks ini, rakyat bersama anda," katanya dipetik Sinar Harian.
Beliau sebelumnya merujuk beberapa kenyataan Anwar berhubung isu rasuah yang melingkari pentadbiran negara sejak beberapa tahun lalu.
Ia antaranya peringatan Anwar kepada jemaah menterinya bahawa kedudukan dan jawatan tidak boleh diambil kesempatan kesempatan untuk 'memunggah' kekayaan negara.
Anwar dalam amanat sempena tahun baharu juga ada memberi amaran bahawa beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap kelompok kecil penjawat awam yang mengamalkan sikap meminta dan menerima rasuah yang boleh mencemarkan imej Kerajaan Perpaduan.
"Kami juga menyambut baik ketegasan Anwar agar tidak memaafkan kecurangan berkenaan, kerana ia melibatkan rakyat dan negara. Apatah lagi dalam tahun 2023 yang dijangka menjadi tahun yang mencabar ini," katanya Fazril lagi.
Comments