Usaha PH majukan N Sembilan jangan terhenti setengah jalan - Anwar
- Azuan Ab Rahman
- Jul 17
- 1 min read

Rakyat di Negeri Sembilan diseru agar terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) dan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, segala usaha yang telah dibina bersama di negeri itu tidak seharusnya dibiarkan terhenti di pertengahan jalan.
"Alhamdulillah, Tok Min telah memimpin Negeri Sembilan sejak 2018 dengan amanah, sederhana dan berintegriti.
"Hasil keserasian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, banyak usaha pembangunan telah dilaksanakan demi manfaat rakyat, dan masih banyak lagi yang perlu kita teruskan.
"Dengan penuh rasa rendah diri, saya merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar terus memberikan kepercayaan kepada HARAPAN di bawah pimpinan Tok Min. Jangan biarkan usaha yang telah kita bina bersama ini terhenti di pertengahan jalan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Negeri Sembilan bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 susulan pergolakan politik yang tercetus susulan tindakan UMNO-BN menarik balik sokongan sekaligus menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada Sabtu ini, dan pengundian awal pada 28 Julai.
Demi mengekalkan mandat pentadbiran negeri, PH menampilkan calon di kesemua 36 kerusi yang dipertandingkan.
"Mandat kalian adalah demi memastikan Negeri Sembilan terus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan bekerja untuk rakyat.
"Insya-Allah, HARAPAN akan terus memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih makmur dan sejahtera," tambah Anwar menerusi hantaran sama.
