top of page

Usaha pembebasan berjaya: 23 sukarelawan GSF dalam perjalanan pulang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read
DS Anwar dalam kenyataan menerusi video petang tadi mengumumkan pembebasan 23 sukarelawan GSF
DS Anwar dalam kenyataan menerusi video petang tadi mengumumkan pembebasan 23 sukarelawan GSF

Seramai 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia kini sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon, Israel, sebelum menaiki pesawat khas ke Istanbul, Turkiye bagi urusan kepulangan mereka.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia itu dicapai hasil kerjasama erat dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang menguruskan operasi bersama kerajaan Turkiye.


"Alhamdulillah, 23 daripada mereka sekarang menuju ke Lapangan Terbang Ramon, Israel untuk menaiki pesawat khas ke Istanbul, Turkiye," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.


Menurut Anwar, kumpulan sukarelawan itu akan ditempatkan sementara di Istanbul selama satu atau dua hari bagi menjalani pemeriksaan kesihatan selepas berdepan tekanan dan trauma akibat layanan keras rejim Zionis.


"Saya setuju dan mereka akan dilepas pulang mungkin esok malam ataupun lusa (Isnin). Itu kita akan aturkan.


"Tetapi sekarang ini kita mendapat berita yang sangat menenangkan dan tentunya kita juga dengan semua rundingan ini saya tidak hanya membatasi keselamatan rakyat Malaysia dan Turkiye.


"Kita juga bicara mengenai semua termasuk Eropah dan rakan Indonesia dan negara lain yang bersama dalam rombongan pembebasan GSF yang pada hemat saya sangat berjaya dari sudut ini," ujarnya.


Menurutnya sebelum ini terdapat tiga sukarelawan yang keberatan menandatangani arahan pengusiran Israel, namun akhirnya bersetuju selepas perbincangan bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery.


Anwar menegaskan, selain keselamatan rakyat Malaysia, rundingan yang dijalankan juga menyentuh kepentingan aktivis kemanusiaan dari Indonesia, Turkiye, Eropah dan negara lain yang turut terlibat dalam misi GSF.


Mengulas lebih jauh, Perdana Menteri menegaskan misi GSF telah memberi kesedaran besar kepada dunia mengenai kekejaman Israel yang bukan sahaja menyasarkan gerakan pembebasan Palestin, malah turut menyekat bantuan kemanusiaan.


"Mereka sudah memberikan sumbangan yang besar, kesedaran kepada ratusan juta rakyat di dunia bahawa rejim ini tidak hanya menentang apa yang mereka ungkapkan sebagai kelompok ganas walaupun bagi kita ini gerakan pembebasan Palestin dan Gaza.


"Tetapi mereka juga melarang, menghindar dengan keras apa juga bantuan kemanusiaan.


"Ini hanya berlaku kalau negara itu dipimpin dan mengendali serta mempunyai falsafah yang sangat kejam. tidak bertamadun," tegasnya.


Dalam pada itu, Anwar menyatakan sokongan terhad Malaysia terhadap rundingan damai yang digagaskan antarabangsa, sambil menegaskan syarat utama adalah pemberhentian serangan, pembebasan Palestin dan Gaza, serta ruang kemanusiaan yang adil.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page