top of page

Usaha mereformasi pendidikan negara terus diperkukuh



Kerajaan MADANI akan terus menggandakan usaha bagi memperkukuh reformasi pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.


Beliau ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di sebuah sekolah di Kangar pada Jumaat berkata, jawatankuasa khas itu akan memberi tumpuan tertentu kepada aspek pengajaran dan pembelajaran guru serta pelajar.


"Enam jawatankuasa khas ini akan bertindak dalam konteks reformasi pendidikan negara," katanya dipetik.


Terdahulu Fadhlina diminta mengulas titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail agar semua pihak memainkan peranan mencapai transformasi pendidikan berkualiti dan berupaya memberikan pendidikan berimpak tinggi kepada generasi pewaris negara.


Mengulas lanjut Fadhlina berkata, enam jawatankuasa khas itu akan memberi tumpuan kepada subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), Digital, Pra-Sekolah, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Intervensi Kurikulum dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris.


Sementara itu, ketika ditanyakan cadangan dan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) dalam mendepani bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin pesat, beliau berkata usaha itu akan dipergiatkan menerusi tumpuan terhadap kompetensi dan latihan guru.


Malah, katanya sekolah-sekolah luar bandar tidak akan terkecuali dari proses pengukuhan dalam bidang itu.


"Dalam aspirasi kita, guru mesti kompeten dan kita berikan tumpuan kepada kompetensi serta latihan kepada golongan pendidik untuk memandu anak murid dalam AI.


"Selain memperkasakan AI di sekolah, kita juga sudah mengupayakan Pusat Kegiatan Guru dan Pelantar Pendidikan Digital DELIMa yang seharusnya digunakan sepenuhnya oleh murid serta guru untuk meningkatkan keupayaan digital dan inovasi mereka," tambah beliau.


KPM baru-baru ini mengumumkan pembelajaran kecerdasan buatan (AI) bakal dilaksanakan seawal peringkat sekolah rendah menjelang jendela persekolahan 2027.


Pengumuman dan rancangan pelaksanaan ini dilihat sebagai antara usaha menyambut hasrat kerajaan untuk memperkasakan kesedaran rakyat terhadap teknologi AI menerusi program 'AI untuk Rakyat'.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page