Usaha guling Tuanku Muhriz satu penderhakaan moden - Pakar


Usaha menggulingkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta istana disifatkan sebagai satu bentuk 'penderhakaan moden'.
Pakar undang-undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal menyifatkan tindakan kepemimpinan gabungan BN - Perikatan Nasional (PN) negeri bersama Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco amat biadab serta belum pernah disaksikan dalam sejarah Negeri Sembilan.
"Bagi saya, ini penderhakaan secara moden. Sepanjang saya melihat perkembangan di Malaysia, khususnya negeri yang mempunyai raja, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini dilakukan secara terang-terangan.
"Kita bercakap mengenai raja sebuah negeri. Kalau ada usaha untuk menggulingkan raja yang masih diiktiraf, itu perkara yang sangat serius, biadab dan tidak bertanggungjawab," katanya dipetik TMP.
Tambahnya, tindakan Ismail Lasim dan Exco yang menerima serta menyokong proklamasi 19 April 2026 bagi menukar kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar menimbulkan persoalan besar, terutama selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah.
"Macam mana satu proklamasi yang tidak sah boleh diterima oleh Exco dan Menteri Besar untuk menjadikannya sah dan menurunkan Tuanku?
"Ini bukan soal pejabat awam biasa. Kita bercakap mengenai raja sebuah negeri," menurutnya.
AGC pada 17 September lalu menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Mereka turut menegaskan Menteri Besar dan barisan Exco tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Noor Aziah sementara itu menyifatkan Tuanku Muhriz selama ini dihormati serta disayangi oleh rakyat Negeri Sembilan dan tidak pernah berdepan kontroversi seumpama itu.
Justeru usaha untuk menurunkan baginda dianggap amat serius dan pihak yang terbabit wajar dikenakan tindakan tegas jika didapati melanggar undang-undang serta sumpah dan ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz.




Comments