top of page

Usah masuk campur urusan parti lain, KEADILAN fokus bina kekuatan sendiri

  • 3 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Reaksi Perdana Menteri terhadap kemelut dalam Bersatu yang mengakibatkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipecat cukup ringkas, tetapi mempunyai maksud yang mendalam kepada KEADILAN.


Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, 'biar mereka bergaduh dahulu'.


Komen beliau yang ringkas itu bukan saja memberi maksud enggan masuk campur urusan parti lain, tetapi juga memberi isyarat kepada KEADILAN agar terus menumpukan kepada kekuatan sendiri.


Dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 semakin hampir tarikhnya, menumpukan kepada kekuatan sendiri adalah lebih penting, apalagi menurut Anwar, KEADILAN kini berada dalam kedudukan paling kukuh keadaannya.


Dalam ucapan di beberapa program perjumpaan bersama ahli parti di tiga negeri, penekanan yang diberi Anwar selaku Presiden KEADILAN adalah cukup jelas dan senada - terus bekerja kuat sebagai satu pasukan.


Maksudnya, biar apa pun masalah yang berlaku dalam parti lain, anggota KEADILAN harus menumpukan kepada diri sendiri.


Dalam ucapan di Kedah, Anwar menekankan ahli parti agar terus melangkah sebagai sebuah parti yang matang, berdisiplin dan teguh setia kepada amanah perjuangan reformasi yang kita junjung sejak awal penubuhannya.


"Keutamaan kita kini adalah memantapkan jentera parti di seluruh negeri dengan gabungan kekuatan pimpinan berpengalaman, kebijaksanaan tokoh-tokoh lama serta kesegaran dan idealisme generasi baharu.


"Organisasi parti yang kukuh, yakin dan berfungsi dengan baik di peringkat akar umbi adalah asas kepada kepercayaan rakyat.


Semangat setia kawan


"Setiap anggota dan pimpinan mesti memperkukuh kesiapsiagaan, meningkatkan keyakinan dalaman serta menggerakkan parti dengan semangat setiakawan dan kesetiaan yang utuh kepada Keadilan," tegasnya.


Selepas menemui ahli-ahli parti di Kedah pada Jumaat, beliau kemudian di Perak pada Sabtu dan kemudian ke Johor pada Ahad.


Dalam semua ucapannya di Majlis Perjumpaan Bersama Presiden KEADILAN itu, penekanan yang diberi adalah sama - kerja kuat dan kekal bersatu padu.


Apa yang Anwar mahukan sebenarnya ialah, apa pun masalah atau kemelut yang berlaku dalam parti lain, matlamat ahli-ahli KEADILAN ialah memastikan kemenangan dalam PRU akan datang.


Kemenangan itu hanya mungkin menjadi kenyataan jika semua pihak bersatu padu dan bekerja kuat.


Sebaiknya mari kita terus fokus membina kekuatan KEADILAN. Elak mencampuri urusan parti pembangkang yang sedang berperang hingga hampir ranap.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page