Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan hantaran video serta ucapan takziah beliau terhadap pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh semalam.
Perdana Menteri yang menyifatkan tindakan itu sebagai biadap turut mengingatkan penyedia perkhidmatan media social itu agar tidak menjadi bacul dan perkakas kepada rejim Zionis.
"Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.
"Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
"Peringatan tegas saya terhadap Meta; usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!" kata Anwar dalam hantaran di Facebook dan X hari ini.
Anwar turut berkongsi notifikasi daripada Meta bahawa hantaran beliau yang mengutuk pembunuhan ketua biro politik Hamas itu telah dibuang.
Ia menyebut individu dan organisasi yang disebut dalam hantaran itu sebagai berbahaya.
Terdahulu semalam Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran foto di Instagram yang memaparkan perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas itu di Doha, Qatar, pada Mei lalu.
Ismail dilaporkan terbunuh dalam serangan udara ke atas kediamannya di Tehran, Iran pada awal pagi Rabu.
Pembunuhan Allahyarham yang juga bekas Perdana Menteri Palestin turut dikutuk sekeras-kerasnya oleh seluruh masyarakat dunia.
Comments