'Usah gusar pelapis, banyak pemimpin kerajaan asal dari KEADILAN'
- Akmal Manaf
- 2 minutes ago
- 2 min read

Kepimpinan KEADILAN mempunyai keupayaan meneruskan kesinambungan perjuangan Reformasi meskipun selepas era Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean (gambar).
Ker Chean berkata, sejarah membuktikan bahawa KEADILAN bukan sebuah parti yang bergantung kepada seorang individu semata-mata merujuk kepada kritikan disuarakan mantan pemimpin parti, Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai keupayaan melahirkan barisan pemimpin yang mampu meneruskan perjuangan melangkaui era kepimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sepanjang lebih dua dekad perjuangannya, KEADILAN melalui pelbagai ujian besar. Pemenjaraan pemimpin utama, tekanan politik yang berterusan, perpecahan dalaman, kehilangan tokoh penting, sehinggalah episod pengkhianatan yang hampir menjatuhkan Kerajaan Negeri dan pusat.
"Namun setiap kali diuji, KEADILAN bukan sahaja mampu bangkit malah terus berkembang sehingga menjadi tunjang kepada Kerajaan Malaysia MADANI hari ini.
"Hal ini kerana asas perjuangan KEADILAN bukanlah seorang pemimpin tetapi cita-cita Reformasi yang berteraskan keadilan, demokrasi, tadbir urus yang baik, pembanterasan rasuah serta peluang yang lebih saksama untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ker Chean lagi, Datuk Seri Anwar sememangnya simbol dan wajah yang menggerakkan dan mencetuskan perjuangan tersebut selama lebih dua dekad.
Namun katanya, simbol tidak harus dikelirukan dengan institusi seperti mana-mana organisasi politik yang matang, pemimpin akan datang dan pergi tetapi nilai dan perjuangan mesti diteruskan.
"Pandangan bahawa KEADILAN tidak mempunyai pelapis juga tidak mengambil kira realiti perkembangan parti. KEADILAN mempunyai gabungan pemimpin berpengalaman yang melalui era Reformasi bersama generasi baharu yang berjaya membuktikan kemampuan mereka di Parlimen, kerajaan, negeri dan organisasi parti.
"Proses pembinaan kepimpinan bukanlah sesuatu yang berlaku dalam satu pilihanraya atau satu pemilihan, tetapi merupakan proses yang berterusan. Datuk Seri Rafizi juga produk KEADILAN.
"Malah, hakikat bahawa begitu ramai tokoh politik yang pernah dibentuk dan dibesarkan dalam KEADILAN terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara, membuktikan bahawa parti ini sentiasa menjadi medan melahirkan bakat dan kepimpinan," ujarnya lagi.
