top of page

Usah cepat melatah, kajian pilihanraya Datuk Bandar KL bersifat akademik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


KEADILAN Wilayah Persekutuan menggesa semua pihak agar tidak bertindak tergesa-gesa atau membina naratif spekulatif berhubung kajian kebolehlaksanaan pilihanraya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sedang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin (gambar) berkata, isu berkenaan wajar dinilai secara berfakta dan berteraskan disiplin akademik selaras dengan prinsip pembentukan dasar awam yang berhemah.


"Semua pihak wajar menilai perkara ini dari sudut disiplin akademik dan berasaskan fakta tanpa mencetuskan spekulasi atau sentimen yang boleh mengelirukan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut beliau, kajian kebolehlaksanaan berkenaan telah dijalankan sejak Disember tahun lalu dan sebarang kesimpulan awal tanpa menunggu hasil akhir kajian adalah bersifat pra-matang.


Azman menegaskan UIAM merupakan institusi pengajian tinggi yang mempunyai reputasi global serta pengalaman luas dalam penyelidikan dasar awam, justeru kajian tersebut dilaksanakan berdasarkan kaedah ilmiah dan standard akademik yang diiktiraf.


"Sehubungan itu, dapatan kajian berkenaan sewajarnya dinilai secara komprehensif sebelum sebarang kesimpulan awal atau pendirian rasmi ditetapkan," ujarnya.


Beliau turut menjelaskan sehingga kini, masih belum ada sebarang keputusan rasmi berhubung pelaksanaan pilihanraya bagi melantik Datuk Bandar sama ada di Kuala Lumpur mahupun di mana-mana negeri lain.


Dalam masa sama, KEADILAN Wilayah Persekutuan mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, bahawa hasil dapatan kajian tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Kabinet Kerajaan MADANI untuk penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dipertimbangkan.


"Proses sedia ada ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan sebarang keputusan dasar dibuat secara teliti dan bertanggungjawab," katanya.


Justeru itu, Azman menyeru semua pihak agar bersikap rasional serta memberi ruang kepada proses kajian dan pertimbangan dasar yang sedang berjalan.


"Pendekatan yang berlandaskan hujah, data dan pertimbangan menyeluruh adalah lebih wajar berbanding membentuk naratif berasaskan andaian atau polemik semata-mata," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page