Jamuan Tahun Baharu Cina awal, dirai semua kaum sebelum Ramadan
- Suara Keadilan

- 24 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Wangsa Maju kali ini disifatkan berbeza apabila diadakan kira-kira dua minggu lebih awal.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, meskipun sambutan diawalkan dua minggu namun kemeriahannya tetap dapat dirasai seolah-olah diraikan pada waktu sebenar.
Beliau berkata, hal ini kerana Tahun Baharu Cina jatuh pada 17 Februari manakala umat Islam pula bakal menyambut Ramadan bermula 19 Februari, justeru penganjuran jamuan lebih awal itu memberi peluang kepada semua kaum dan agama untuk bersama-sama meraikannya sebelum memasuki bulan puasa.
"Itu menunjukkan bahawa Malaysia ini agak unik dan kita bertoleransi antara kita. Kita tahu bahawa pada 17 Februari merupakan Tahun Baharu Cina, pada 19 Februari pula kita (umat Islam) akan menyambut Ramadan.
"Itu mungkin salah satu sebab ramai sahabat-sahabat yang beragama Islam tak dapat bersama untuk menyambut (Tahun Baharu Cina), jadi kita sambut awal.
"Saya nak ucapkan terima kasih dan tahniah kepada Saudara Andre Lai dan jawatankuasa yang menganjurkan sambutan awal dua minggu," katanya ketika ditemui Suara Keadilan pada sambutan berkenaan, semalam.
Dalam pada itu, Andre Lai berkata, kebiasaannya beliau akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina pada hari keenam atau ketujuh perayaan tersebut setiap tahun.

"Namun, tahun ini sambutan utama saya dijadualkan pada 22 Februari, iaitu sebelum bermulanya bulan Ramadan. Justeru, saya tidak dapat menjemput Tok Man (Datuk Azman) untuk hadir.
"Oleh itu, saya mengambil keputusan menganjurkan sambutan lebih awal dan menjemput Tok Man bagi memberi sokongan kepada program ini.
"Program ini bukan dianjurkan atas nama mana-mana pertubuhan atau persatuan, sebaliknya digerakkan komuniti setempat termasuk saya sendiri yang mempunyai hubungan akrab dengan masyarakat di sini.
"Setiap kali mereka menganjurkan sebarang program, saya turut diajak untuk bersama-sama menjayakannya" katanya lagi.









Comments