
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memulakan corak tadbir urus lebih tegas dan pantas pada tahun kedua pentadbirannya.
Perkara itu dinyatakan beliau pada majlis kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), Presint 3 malam tadi.
Mengulas lanjut Anwar berkata, setahun pentadbirannya, Kerajaan Perpaduan dengan tekad barisan Jemaah Menteri telah berjaya menyelesaikan pelbagai masalah asas rakyat melalui beberapa usaha yang dijalankan.
Selain itu, pentadbiran beliau telah memperkenalkan usaha-usaha lain termasuk Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 selain menyelesaikan isu pendidikan.
"Tahun pertama kita kemudi (Malaysia), pada awalnya terumbang-ambing tetapi Alhamdulillah dasar jelas kita selesaikan masalah rakyat.
"Cukup setahun dengan mandat ada… tahun (baharu) ini, kita akan mula dengan lebih tegas dan lebih jelas untuk bangunkan ekonomi negara," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Majlis malam tadi dihadiri lebih 5,000 hadir pada majlis itu terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, penjawat awam dan pelajar tahfiz.
Turut hadir adalah ister Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan anggota jemaah menteri yang lain.
Majlis dimulakan dengan jamuan makan diikuti solat maghrib berjemaah, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat.
Program kemudian diteruskan dengan amanat oleh Perdana Menteri sebelum majlis diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.
Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pentadbiranya kemudian memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Comments