top of page

Urus perbezaan BN - PH, gerak ke hadapan dengan kekuatan baharu

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • May 3, 2023
  • 2 min read


Perbezaan perjuangan sejak puluhan tahun di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu diuruskan sebaik mungkin untuk bergerak sebagai satu kekuatan yang mantap dan mampu membawa perubahan kepada negara.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Adam Adli Abd Halim berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Jalinan Mesra Pemuda Perpaduan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 malam tadi yang melibatkan sayap pemuda dari parti parti di dalam Kerajaan Perpaduan.


Sesi ice breaking tersebut menyaksikan ketua ketua pemuda melahirkan harapan untuk bersama sama membincangkan kekuatan bersama sebagai sekutu.


"Bagi saya tanggungjawab yang paling besar buat kita, baik yang mengepalai sesuatu parti atau memimpin negara, ialah cabaran skil kemahiran yang perlu dimiliki oleh pemimpin, menguruskan perbezaan


"Negara kini negara majmuk. Orang berbeza, selera lain, status kita lain, kelas kita lain tetapi tanggungjawab pemimpin adalah menguruskan perbezaan ini," kata Adam.


Sehubungan itu beliau melihat ada banyak perkara yang perlu diperbincangkan bagi membentuk kerjasama yang mantap terutama menghadapi PN dalam pilihanraya di 6 negeri pada Julai ini.


Juga tidak kurang, katanya, untuk mengendurkan perbezaan. Pemuda UMNO, kata Adam, mungkin dididik bahawa Anwar tidak boleh jadi Perdana Menteri manakala DAP adalah rasis, namun semuanya itu berlainan ketika ini.


"DAP tak rasis dan Anwar sudah jadi PM. Ini adalah perkara yang sebenarnya wujud. Kita (PH) memandang BN sebagai satu gabungan politik yang degil, tak mahu terima kepelbagaian.


"Tetapi bila kita dapat bersama ini, satu perkembangan yang baik bagi rakyat Malaysia. Terutama bagi golongan generasi muda kita


"Saya harap pertemuan malam ini membuka lembaran baru buat kita. Perbezaan jangan kita nafikan. Itu untuk kita bincang bersama sama," katanya lagi.


Sementara itu, Ketua pemuda Amanah, Senator Hasbie Muda pula membawa pengalaman sebagai anak muda yang taat kepada Pas dan menganggap musuh politik seperti Umno kurang Islamik.


"Sepanjang pengalaman saya dalam Pas memang walaon. Presiden Pas memang kita taat. Tetapi saya ingat satu moment yang penting menyebabkan saya berubah pandangan politik bila saya tengok sidang DUN Terengganu. Dalam sidang DUN Terengganu ada beberapa orang ADUN muda dari UMNO. Kita pandang tinggi pada pimpinan Hj Hadi, Ust Haron Taib dan sebagainya. Tetapi bila saya tengok ADUN UMNO dengan berani dan lantang menghentam pimpinan Pas dalam sidang DUN Terengganu, saya mula terfikir apa hal mereka berani sangat menghentam Ayatullah atau Mullah (dalam Pas).


"Bila saya dengar hujah ADUN UMNO, isu besar mereka kritik adalah takfiri. Isu mengkafirkan atau melihat parti saingan mereka sabagai tidak cukup Islam.


"Saya melihat bahawa musuh politik kita (Pas) ialah parti yang konsisten menggunakan sentimen agama untuk meraih undi. Saya yakin kita juga berdepan dengan musuh dan budaya yang sama sekarang.


"Musuh kita bukan semata mata Pas atau PN tetapi musuh kita menggunakan agama untuk kepentingan politik yang mempunyai pandangan berbeza dari kita," katanya.


Mesyuarat julung kali Pemuda PH - BN ke arah PRN Julai 2023

Beliau berharap PH dan BN akan menemui rentak dan hujah untuk menyedarkan Melayu Pas bahawa parti itu telah mengelirukan pemikiran mereka.


"Mereka melihat parti lawan tidak cukup Islam. Itu menyebabkan kita terpaksa memilih meninggalkan parti tersebut dan bersama sama dalam PH dan sekarang dalam Kerajaan Perpaduan


"Saya rasa ke depan, perjuangan kita ialah melawan ekstremis atau golongan pelampau ini. Saya yakin bahawa politik atau kejayaan dalam demokrasi bila mana kita berjaya menampilkan kepimpinan terbaik dalam negara," katanya lagi.


Pemuda BN dan PH selepas jamuan hari raya tersebut mengadakan mesyuarat bagi merangka kerjasama dalam menghadapi PRN pada Julai ini.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page