top of page

Untuk apa penyatuan Melayu-Islam jika berlaku salah urus Tabung Haji?

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Tindakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa berdepan dakwaan berkaitan pengisytiharan harta menimbulkan persoalan mengenai naratif ‘penyatuan Melayu-Islam’ yang kini dibawa oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).


Ketua Cabang KEADILAN Pontian, Haniff Hosman (gambar) berkata, rakyat khususnya orang Melayu perlu menilai semula apakah makna sebenar penyatuan ummah kerana kedua dua parti politik berkenaan pernah bersatu dalam Kerajaan Keluarga Malaysia pada 2021 - 2022 lalu dan berakhir dengan skandal terkait integriti dan pengurusan kewangan.


"Ini bukan soal siapa Melayu atau siapa Islam. Persoalannya ialah apakah makna penyatuan Melayu kalau dalam pemerintahan yang menggunakan naratif itu masih ada isu berkaitan integriti dan pengurusan harta yang perlu dijawab?


"Rakyat mahu melihat amanah itu dijaga. Kalau benar mahu membela orang Melayu dan Islam, perkara paling asas ialah memastikan wang dan aset yang diamanahkan kepada kerajaan serta institusi berkaitan diurus dengan baik dan telus," katanya.


Menurut Haniff, kerajaan BN-PN boleh dilihat dalam hal salah urus Tabung Haji sebagaimana didedahkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja baru baru ini yang memperlihatkan pemimpin Umno terlibat dan kemudiannya pemimpin Pas cuba memberi gabaran baik dan beres dalam isintitusi yang membela kepentingan masyarakat Melayu dan Islam itu.


"Untuk apa kita bercakap tentang penyatuan Melayu kalau duit orang Melayu sendiri boleh berdepan masalah pengurusan?


"Kes Tabung Haji sepatutnya menjadi pengajaran besar bahawa soal amanah, tadbir urus dan ketelusan tidak boleh dikalahkan oleh politik identiti.


"Orang Melayu tidak hanya perlukan slogan perpaduan. Mereka perlukan kerajaan yang memastikan harta, dana dan institusi yang diwujudkan untuk kepentingan mereka benar-benar dilindungi," katanya lagi.


Haniff berkata, proses undang-undang terhadap Ismail Sabri perlu dihormati dan beliau berhak mendapat perbicaraan yang adil, namun perkembangan itu tetap perlu dijadikan ruang untuk rakyat menilai tahap integriti dan akauntabiliti pemimpin politik.


Beliau menegaskan bahawa perjuangan membela Melayu dan Islam tidak seharusnya diukur berdasarkan kekuatan slogan atau kemampuan memainkan sentimen identiti, sebaliknya melalui keberkesanan mengurus negara serta memastikan kepentingan rakyat dilindungi.


"Kalau benar perjuangan itu untuk Melayu dan Islam, ukurannya mudah — amanah dijaga, wang rakyat dilindungi, institusi diperkasakan dan mereka yang melakukan kesalahan perlu bertanggungjawab tanpa mengira parti atau kedudukan.


"Itulah penyatuan yang sebenar, bukan penyatuan atas nama Melayu tetapi akhirnya rakyat pula yang menanggung akibat daripada kelemahan tadbir urus," katanya lagi.


Terdahulu, Ismail Sabri dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, namun prosiding ditangguhkan kepada 27 Ogos 2026 selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page