Unjuran Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia meningkat 58% 2030


Unjuran pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia meningkat kepada 58 peratus menjelang 2030 berbanding 49 peratus tahun lalu sekali gus mengatasi unjuran global sebanyak 35 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan itu mencerminkan kemajuan usaha negara melaksanakan agenda pembangunan mampan meskipun masih banyak aspek perlu diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat.
“Perkembangan ini mencerminkan kemajuan usaha negara dalam menjayakan agenda SDG, namun masih banyak yang perlu diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2026 hari ini.
Menurut Anwar, mesyuarat itu turut meneliti kemajuan 10 Fokus Utama SDG yang menyentuh secara langsung kesejahteraan rakyat termasuk isu malpemakanan kanak-kanak, kesihatan mental, pemerkasaan orang kurang upaya (OKU), kelestarian alam sekitar, ancaman penipuan serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri.
Beliau menegaskan pelaksanaan SDG tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka dan sasaran semata-mata sebaliknya perlu diterjemahkan kepada perubahan nyata dalam kehidupan rakyat.
“Bagi saya, SDG bukan sekadar soal angka dan sasaran, tetapi komitmen untuk memastikan pembangunan negara benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, tanpa ada sesiapa yang tercicir atau terpinggir,” katanya.
SDG ialah agenda pembangunan global yang diterima pakai oleh negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 menerusi Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.
Agenda itu merangkumi 17 matlamat dan 169 sasaran yang menggabungkan dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar, termasuk usaha membasmi kemiskinan dan kelaparan, meningkatkan akses kepada pendidikan serta kesihatan berkualiti, mengurangkan ketidaksamaan dan menangani perubahan iklim.
Prinsip utama agenda berkenaan ialah memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan, dengan perhatian khusus diberikan kepada kumpulan rentan dan masyarakat yang berdepan kekangan akses kepada peluang serta kemudahan asas.
Di Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan laporan indikator SDG bagi memantau kemajuan negara melalui lima bidang utama, iaitu rakyat, kemakmuran, planet, keamanan dan kerjasama.
DOSM turut melaporkan ketersediaan indikator SDG Malaysia meningkat daripada 99 indikator atau 41 peratus pada 2018 kepada 205 indikator atau 82 peratus pada 2024 sekali gus memperkukuh keupayaan pemantauan dan penilaian kemajuan agenda berkenaan.
Bagaimanapun, peningkatan unjuran pencapaian SDG perlu disusuli pelaksanaan dasar dan program yang berkesan supaya kemajuan di peringkat nasional turut diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat termasuk dalam aspek kesihatan, keterangkuman sosial, perlindungan alam sekitar dan keseimbangan pembangunan antara negeri.




Comments